- Iklan -
Berita

Gerik, Bugaya diisytihar darurat, PRK tangguh

Agong berkenan mengisytihar darurat selepas menerima sembah maklum daripada jemaah menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengisytihar darurat bagi kawasan Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah selepas menerima sembah maklum daripada jemaah menteri, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri dalam satu kenyataan berkata, Agong berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua tersebut setelah berpuas hati terdapat keperluan berbuat demikian.

“Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jemaah menteri pada 4 Disember membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

“Mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam,” tambahnya.

MalaysiaNow pada November lalu melaporkan, Agong turut berkenan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Dengan pengisytiharan ini, tiga PRK tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.