- Iklan -
Berita

Presiden PAS mengadap Sultan Perak

Hadi diterima menghadap Sultan Nazrin selepas beliau mengutus warkah pada 10 Disember lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang setelah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan PAS di Istana Kinta pada 15 Disember, 2020. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang setelah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan PAS di Istana Kinta pada 15 Disember, 2020. Gambar: Bernama

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh.

Kereta yang membawa Ahli Parlimen Marang itu tiba pada pukul 10.50 pagi.

Hadi diterima menghadap Sultan Nazrin selepas beliau mengutus warkah pada 10 Disember lepas memohon perkenan untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan PAS.

Pada Jumaat (11 Disember), Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan pada 8 Disember lepas.

Selain Razman yang juga Adun Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS Perak terlibat ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, ketika istiadat angkat sumpah jawatan exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 Disember lepas, tiada Adun daripada PAS dalam senarai awal yang dilantik sebagai exco, sebaliknya hanya melibatkan empat Adun Umno dan seorang daripada Bersatu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Hadi menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Nazrin di atas keprihatinan dan kebijaksanaan yang dizahirkan oleh baginda.

“… ini terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Hadi selesai menghadap Sultan Nazrin.

Hadi bagaimanapun tidak bertemu dengan petugas media yang menunggu di luar istana selepas menghadap Sultan Nazrin selama kira-kira 40 minit.