- Iklan -
Berita

Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis

111 setuju, 108 tidak setuju manakala seorang tidak hadir.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Belanjawan 2021 diluluskan dengan undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Belanjawan 2021 diluluskan dengan undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Bacaan ketiga Belanjawan 2021 lulus dengan undian belah bahagi menyaksikan 111 setuju, 108 tidak setuju manakala seorang tidak hadir.

Ini menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya meluluskan pembentangan semua 27 kementerian di peringkat jawatankuasa meskipun sebelum ini dikhabarkan pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan menguji semua kementerian dalam usaha untuk menggagalkannya.

Rang Undang-undang itu sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun di peringkat jawatankuasa, beberapa kementerian terpaksa berdepan dengan undian belah bahagi.

Daripada 27 kementerian itu, 18 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagi.

Terdahulu RUU Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian pendidikan (KPM) dan kementerian pengajian tinggi (KPT) tidak berdepan sebarang masalah untuk diluluskan di Dewan Rakyat hari ini apabila lulus dengan undian suara.

RUU itu juga diluluskan dengan mudah tanpa melalui undi belah bahagi.

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi KPM ialah RM50.35 bilion.

Manakala bagi KPT pula RM14.403 bilion.

Terdahulu ketika sesi perbahasan, Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) mengambil keputusan untuk tidak menyokong peruntukan Belanjawan 2021 KPM kerana tidak memperuntukkan sebarang cadangan untuk kaedah pendidikan yang lebih sesuai dengan keperluan anak muda pada masa depan.

“Rakyat rata-rata berpendapat bahawa dasar pelajaran atau pendidikan negara sudah tidak sesuai dengan peralihan zaman.

“Benar pendidikan bertujuan membekal anak muda dengan ilmu, tetapi ilmu perlu sesuai dengan cara hidup masa depan anak muda.

“Kita orang Islam memang wajib mengetahui agama Islam yang kita anuti, tetapi kita juga wajib sediakan diri untuk dunia di waktu mana kita perlu bekerja untuk membiayai kehidupan kita. Adalah penting masa untuk mempelajari agama diagih supaya masa untuk kehidupan duniawi mencukupi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.