- Iklan -
Berita

Speaker minta jangan politikkan isu mengundi pakai PPE

3 ahli Parlimen lengkap dengan PPE akan dibawa menggunakan ambulans dan ditempatkan di dalam bilik khas.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.

Kelonggaran yang diberikan kepada tiga ahli Parlimen dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk hadir mengundi di Dewan Rakyat tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Tegasnya kelonggaran itu diberikan selepas mendapat kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setiap ahli Parlimen berhak mengundi sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

“Pagi ini, saya difahamkan ada tiga orang yang minta kebenaran untuk hadir ke dewan bagi mengundi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya kesemua mereka akan dibawa menggunakan ambulans dan akan dipakaikan pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum ditempatkan di dalam sebuah bilik khas.

“PPE baru perlu dipakai sekiranya mereka ingin masuk ke dewan, tetapi ditempatkan di galeri awam bagi mengikuti proses pengundian.

“Setiap ahli Parlimen berhak mengundi sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

“Ketika undi diambil, penghitung akan diarahkan untuk memakai ‘visor’ (pelindung muka), manakala mereka (ahli Parlimen yang dikenakan HSO) akan diminta segera tinggalkan galeri awam selepas selesai mengundi,” katanya.

Semalam Azhar turut memaklumkan MalaysiaNow tiga ahli Parlimen itu dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat mengikut SOP KKM.

Ketika ini, dua ahli Parlimen dari blok kerajaan antara yang menjalani perintah HSO iaitu Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Seorang lagi di pihak pembangkang, P. Prabakaran (PKR-Batu) turut dikenakan HSO.

Sebelum ini, Adham yang juga ahli Parlimen Tenggara mengesahkan beliau perlu menjalani perintah HSO sehingga 18 Disember ini kerana menjadi kontak rapat seorang petugas media yang disahkan positif Covid-19.

Manakala Saravanan (BN-Tapah) memaklumkan, beliau menjalani perintah kuarantin itu selepas menjadi kontak rapat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Shahul Hameed Dawood, yang disahkan positif Covid-19.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat tahun ini yang akan berlangsung hari ini dan esok menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Lima kementerian tersebut ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kehadiran ahli Parlimen ini dianggap kritikal bagi menentukan rang undang-undang berkenaan diluluskan atau sebaliknya dan bacaan ketiga pula dijangka diadakan pada Rabu ini.