- Iklan -
Berita

Kerajaan peruntukan RM34.6 bilion untuk rakyat terjejas akibat Covid-19

RM18.2 bilion di bawah peruntukan Belanjawan 2021 dan RM16.4 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Farid Nahur Yusof, 12, (kiri) menjual kuih dari pintu ke pintu sepanjang perlaksanaan PKPB bagi membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal di flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur.
Muhammad Farid Nahur Yusof, 12, (kiri) menjual kuih dari pintu ke pintu sepanjang perlaksanaan PKPB bagi membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal di flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur.

Kerajaan memperuntukkan RM34.6 bilion yang merangkumi pelbagai subsidi, insentif dan bantuan kepada rakyat dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya buat mereka yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Katanya, daripada jumlah itu, RM18.2 bilion dibiayai di bawah peruntukan Belanjawan 2021 dan RM16.4 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 yang merangkumi pelbagai sektor serta pemberian bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Menerima subsidi, insentif dan bantuan ini bukan sahaja pada golongan B40 malah M40. Pemberian dan agihan (bantuan) secara bersasar merupakan antara matlamat kerajaan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan mengurangkan ketirisan yang berlaku.

“Antara sektor (Kumpulan Wang Covid-19) ialah sektor pertanian, sektor kepenggunaan, sektor pengangkutan, sektor keselamatan komuniti dan keagamaan, sektor kesihatan dan pendidikan termasuklah bantuan sara hidup dan kebajikan masyarakat, bantuan faedah pinjaman serta pemberian elaun.

“Perbelanjaan ini juga termasuklah Bantuan Prihatin Nasional, tambahan bantuan sara hidup, bantuan tambahan kepada golongan mudah terjejas seperti golongan kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal serta bantuan sekali beri (one off) seperti yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang ingin mengetahui semua jenis bantuan kepada rakyat kelompok B40 dan M40 dan jumlah sebenar perbelanjaan dibiayai Kerajaan.

Sebagai usaha penyelesaian jangka panjang dalam membantu golongan sasar seperti OKU dan ibu tunggal yang terjejas, Shahar memberitahu Kementerian Kewangan sentiasa mendengar permasalahan rakyat walaupun pelbagai bantuan secara terus diberikan kepada rakyat.

“Kita ambil pengalaman antara bantuan sara hidup dan bantuan prihatin nasional yang kita gabungkan dan mewujudkan satu kaedah baru iaitu bantuan prihatin rakyat yang dahulunya memperuntukkan RM4,000 isi rumah ke bawah tapi dengan ambil kira bantuan prihatin nasional dan bantuan sara hidup, kita mengubah sedikit dan membesarkan julat sehingga RM5,000.

“Dan saya yakin dan percaya Kementerian Kewangan amat memahami apa yang dibangkitkan Yang Berhormat iaitu jaringan pelindungan sosial yang harus dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu sahaja melibatkan keperluan harian. Insya-Allah, perkara ini saya akan bawa ke Kementerian Kewangan.”