- Iklan -
Berita

Pemilihan MB baru Perak bergantung kepada pemimpin setiap parti, kata Hishammuddin

Jawatan MB kosong selepas Umno menggulingkan Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu di DUN Perak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendahari Agung Barisan Nasional Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama
Bendahari Agung Barisan Nasional Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama

Sebarang keputusan berkaitan isu pemilihan menteri besar Perak yang baru kini bergantung kepada pemimpin setiap parti politik, menurut Bendahari Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi malam tadi ada menyentuh mengenai pemilihan menteri besar baru Perak.

“Isu Perak berjalan mengikut landasannya.. soal itu anda kena tunggu dan lihat apa yang diputuskan oleh kepimpinan setiap parti yang terlibat.

“…namun perkara itu tidak dibincangkan dengan terperinci dalam mesyuarat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat yang bermula pukul 8.30 malam tadi berakhir kira-kira dua jam kemudian, di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.

Antara yang terawal hadir ialah Presiden PBRS Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Presiden MIC S A Vigneswaran.

Turut hadir Ketua Pemuda BN Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon dan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Jawatan menteri besar Perak kini kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas apabila beliau gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan ahli Dewan terhadap menteri besar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri sehari sebelumnya.

Pada Isnin, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak melibatkan Adun daripada Umno, PAS dan Bersatu perlu terus dipertahankan.

Mesyuarat parti itu juga bersetuju sebulat suara untuk mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baharu bagi menggantikan Faizal.