- Iklan -
Berita

Lebih 7,000 graduan terima manfaat Penjana

Sebanyak 87 program diluluskan di bawah Program Peningkatan Kerjaya KPT.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 154 syarikat penyedia latihan terbabit dalam program melatih graduan. Gambar: AFP
Sebanyak 154 syarikat penyedia latihan terbabit dalam program melatih graduan. Gambar: AFP

Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak 87 program diluluskan yang melibatkan Program Peningkatan Kerjaya (KPT-CAP) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Mansor Othman.

Beliau berkata, program itu membabitkan kerjasama dengan 154 syarikat penyedia latihan atau syarikat yang mengeluarkan surat jaminan komitmen (LOC) sebagai jaminan penempatan pekerjaan kepada graduan selepas latihan.

“Berdasarkan bilangan program yang diluluskan itu, seramai 7,596 graduan akan mendapat manfaat daripadanya membabitkan kluster penempatan dan latihan, keusahawanan serta ekonomi gig.

“Bagi kluster penempatan dan latihan, seramai 6,296 graduan dijangka mendapat penempatan pekerjaan sebagai sahaja berjaya menamatkan latihan.

“Kluster keusahawanan pula, seramai 1,010 graduan yang berjaya menamatkan latihan, akan ditawarkan pembiayaan perniagaan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

“Sementara itu untuk kluster ekonomi gig, seramai 290 orang peserta akan dibimbing untuk menjana pendapatan sendiri secara ‘free-lancing’ sebaik sahaja menamatkan latihan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fasiah Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah graduan yang menyertai Penjana KPT-CAP serta bilangan syarikat yang menyokong inisiatif berkenaan.