- Iklan -
Berita

Shahidan gesa kerajaan tidak potong peruntukan J-KOM, lantik semula kakitangan kontrak dibuang PH

Beliau juga meminta supaya peruntukan jabatan itu tidak dikurangkan bagi memberi peluang pekerja-pekerja kontrak yang dibuang dapat kembali bekerja semula.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim menggesa kerajaan tidak memotong peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini dijenamakan sebagai J-KOM dan melantik semula kakitangan kontrak semasa zaman Barisan Nasional (BN) yang dibuang selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Arau itu turut menyelar pembangkang, menggesa mereka menghentikan permainan politik dan tidak mengkritik usaha kerajaan untuk mengambil semula pegawai-pegawai kontrak zaman BN yang dibuang begitu sahaja semasa PH memerintah.

Katanya PH perlu membuka mata melihat J-KOM dengan lebih teliti peranannya dan mengharapkan agar peruntukan jabatan itu tidak dikurangkan bagi memberi peluang pekerja-pekerja kontrak yang dibuang dapat kembali bekerja semula.

“Jadi, pada hari ini kalau nak jadi hero, jadi hero ambil balik pegawai-pegawai yang dibuang melibatkan mereka, keluarga mereka, anak-anak mereka yang tidak diperjuangkan ketika itu tetapi sekarang ini pula mempertikaikan usaha kerajaan untuk mengambil pegawai-pegawai kontrak yang mana sebahagiannya dibuang kerja begitu zalim pada masa (kerajaan) lepas.

“Ada jabatan ditutup terus selama dua tahun seperti Jasa. Ini perlu dipertimbang balik walau dikatakan peruntukannya RM85 juta kerana orang tidak melihat peruntukan sebelum ia ditutup sebanyak RM75 juta.

“Ini merupakan peruntukkan biasa namun jika menteri kewangan nak potong, kena fikirkan balik kerana ini semua melibatkan pengambilan semua kakitangan yang dipecat dahulu,” katanya ketika berbahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu Shahidan juga mengharapkan agar kerajaan dapat menaik taraf dan membaiki pagar sempadan Malaysia-Thailand yang dirosakkan penyeludup bagi meningkatkan jaminan keselamatan kawasan itu dari semasa ke semasa.

Katanya, perkara ini harus dilaksanakan segera bagi mengelakkan tiada lagi anggota petugas keselamatan sempadan negara yang bertugas terbunuh selain mampu mengelakkan laluan-laluan tikus baru diwujudkan penjenayah.

“Kita tengok menaik taraf pagar keselamatan hanya RM300,000 setahun. Yang kita cadang masa kerajaan (BN) dulu, supaya pagar konkrit ini dibina dari Padang Besar sehingga ke Perak kerana pagar ini mampu menghalang munculnya lubang-lubang tikus disebabkan pagar berkawad atau pagar besi ini sehingga berlaku peristiwa pembunuhan anggota kita.

“Itu sebab mereka memohon penggunaan dron diperkenalkan agar rondaan lebih baik dapat dilakukan. Saya minta pagar keselamatan ini diperhatikan semua. Kelulusan dahulu supaya pagar ini dapat dibina supaya dipertimbangkan semula.”