- Iklan -
Berita

Menteri arah polis segera siasat insiden sebabkan anggota PGA terkorban

Salah seorang anggota PGA terkorban dan KDN akan ambil tindakan serius terhadap kumpulan penyeludup.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama

Pihak polis diarah menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, kerajaan amat memandang serius kejadian berbalas tembakan itu sehingga menyebabkan salah seorang anggota PGA terkorban.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang dua kumpulan disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.

“Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli terkorban dalam kejadian berbalas tembakan itu, manakala rakan setugas mangsa, Koperal T Norihan cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama mewakili kementerian dalam negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut.