- Iklan -
Berita

Kewangan universiti awam terjejas akibat Covid-19

Universiti disaran menjadi kreatif untuk menjana pendapatan sendiri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar institusi pengajian tinggi awam, Syukri A. Mokhtarudin dan Muhammad Hazim Zainal mengikuti kelas pembelajaran secara atas talian. Gambar: Bernama.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam, Syukri A. Mokhtarudin dan Muhammad Hazim Zainal mengikuti kelas pembelajaran secara atas talian. Gambar: Bernama.

Universiti-universiti awam di Malaysia akan berdepan dengan krisis kewangan lebih serius sekiranya penularan Covid-19 berterusan hingga tahun hadapan, sekaligus menjejaskan kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan mereka.

Izlin Ismail dari Universiti Malaya berkata, kedudukan kewangan universiti dijangka bermasalah kerana bayaran yuran pelajar pascasiswazah seperti ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran, yuran kolej kediaman dan pendapatan sampingan melalui aktiviti seperti bengkel serta latihan bersama agensi luar dan syarikat korporat semakin berkurangan.

“Yuran pelajar ijazah sarjana muda mungkin tak banyak terjejas kerana yuran mereka sangat rendah berbanding yuran ijazah pascasiswazah,” kata pensyarah fakulti perniagaan dan perakaunan itu kepada MalaysiaNow.

Izlin berkata, selain itu pelanggan-pelanggan universiti seperti agensi luar dan syarikat korporat tidak gemar melaksanakan program secara dalam talian menyebabkan kebanyakannya terpaksa ditunda dan ini menjejaskan lagi pendapatan mereka.

Menurut Izlin universiti awam masih mampu bertahan tahun ini kerana kerajaan masih menyalurkan bantuan kewangan.

“Tapi tahun depan kena lihat jika ada penurunan dalam peruntukan untuk universiti.

“Semua universiti akan terjejas bukan hanya universiti awam,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Oktober lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan sebanyak RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ini termasuk RM50 juta yang disediakan untuk menjalankan projek baik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.

Menurut Izlin universiti awam masih mampu bertahan tahun ini kerana kerajaan masih menyalurkan bantuan kewangan.

Kaedah pembelajaran perlu diubah

Bekas naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Hassan Said berkata universiti-universiti awam perlu membuat pelaburan terhadap kaedah pembelajaran yang berubah sejak pandemik Covid-19 untuk kekal relevan.

Katanya pembelajaran secara virtual dan dalam talian memaksa universiti mengeluarkan perbelanjaan bagi memantapkan infrastruktur teknologi maklumat, melatih pensyarah mengajar dengan cara baru dan bahan mengajar perlu diubah suai selaras dengan model pembelajaran luar dewan kuliah.

Hassan berkata, di sebalik kesan negatif Covid-19, pandemik itu juga banyak memberi pengetahuan baru kepada pihak pengurusan universiti khususnya dalam menguruskan hal ehwal kewangan.

Beliau menegaskan beberapa langkah segera perlu diambil bagi memastikan kewangan universiti lebih mampan dan berdaya saing selain menggunakan teknologi dalam pengurusan supaya sumber tenaga dapat dioptimumkan.

Hassan turut mencadangkan agar pentadbiran universiti menyediakan prosedur yang efektif bagi memastikan kakitangan boleh bekerja dari rumah tanpa menjejaskan produktiviti.

“Kos staf perlu diuruskan dengan lebih bijak, kerana ia adalah kos yang sangat tinggi, mungkin mencecah 65% daripada pendapatan.

“Ini perlu dikurangkan segera, sama ada (universiti) mempunyai staf yang diperlukan untuk menepati standard sahaja atau semakan gaji untuk kebaikan semua,” katanya kepada MalaysiaNow.

Hassan turut menyeru universiti awam berusaha menjana pendapatan alternatif seperti menawarkan kursus jangka pendek yang eksklusif dalam talian.

“Universiti perlu menyemak kandungan program pengajian mereka, serta kaedah penyampaian agar menepati keperluan norma baru.

“Dengan ini, universiti akan dapat menarik lebih ramai pelajar,” katanya.