- Iklan -
Berita

Kertas kerja Akta Pembangunan Kg Baru diserah kepada peguam negara, kata menteri

Akta itu akan menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir pada Majlis Sesi Sumbangan Mangsa Banjir Kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Serbaguna Kampung Baru pada 14 November, 2020. Gambar: Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir pada Majlis Sesi Sumbangan Mangsa Banjir Kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Serbaguna Kampung Baru pada 14 November, 2020. Gambar: Bernama

Kementerian Wilayah Persekutuan menyerahkan kertas kerja Akta Pembangunan Kampung Baru kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, akta itu akan menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS), peraturan yang digunakan untuk pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.

“Menerusi akta baru itu, kita turut menggunakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040. Pelan itu tidak akan mendiskriminasikan Kampung Baru, kita akan memastikan ia dibangunkan setara dengan kawasan sekitar.

“Kita juga sedang menyiapkan pakej pembangunan 44 parcel di Kampung Baru, sebahagiannya akan dipilih untuk pembangunan dalam kadar segera, yang membabitkan lebih lapan hektar tanah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 6 Jun lepas, Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PPKB) dalam satu kenyataan berkata peranan Lembaga Pentadbiran MAS, tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah, perancangan dan pengurusan perbandaran di kampung tersebut.

PPKB berkata keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Disember 2019 dengan mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, berkenaan status lembaga itu serta surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 13 Februari 2020.

Sementara itu, Annuar menjelaskan keputusannya sebelum ini yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai “wilayah bebas berniaga” bukan bermaksud wilayah tersebut bebas undang-undang.

“Terdapat pelbagai undang-undang mengenai penjaja, perniagaan dan sebagainya. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai garis panduan yang mesti dipatuhi, sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kepada setiap peniaga,” katanya.

Terdahulu, Annuar berkata DBKL kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai esok (Ahad).

Sementara itu, Annuar menjelaskan keputusannya sebelum ini yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai “wilayah bebas berniaga” bukan bermaksud wilayah tersebut bebas undang-undang.

Bagaimanapun katanya, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman sesawang DBKL, yang ditawarkan secara percuma.