- Iklan -
Berita

Perkeso terima 345 aduan kes tuntutan palsu PSU dibuat majikan

Hampir RM20 juta tuntutan palsu yang dibuat majikan dan 155 dalam proses tuntutan balik.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja proses tempahan mengikut pesanan di website, dan menyusun tempahan mengikut kuota.
Pekerja proses tempahan mengikut pesanan di website, dan menyusun tempahan mengikut kuota.

Sehingga 30 Oktober lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terima 345 aduan terhadap majikan yang didapati membuat tuntutan palsu RM19,986,200 di bawah Program Subsidi Upah (PSU) menerusi sistem rekod pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata daripada 345 aduan, 155 kes membabitkan kes tuntutan palsu dan salah guna PSU dikenal pasti oleh Perkeso untuk tindakan menuntut kembali bayaran daripada majikan berkenaan.

Katanya daripada jumlah itu 190 kes masih dalam proses siasatan dan Perkeso sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pengadu.

“Jika majikan didapati melakukan tuntutan palsu atau salah laku syarikat, maka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 415 dan 471 Kanun Keseksaan.

“Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa kes masih dalam siasatan. Perkeso juga akan terus bekerjasama dengan SPRM bagi melengkapkan kertas siasatan ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapa jumlah majikan yang dikenal pasti membuat tuntutan palsu bagi program subsidi upah dan berapa nilai dalam Ringgit Malaysia (RM).

Menurut Awang sehingga 30 Oktober lalu Perkeso sudah menerima 331,950 permohonan majikan membabitkan 2.7 juta bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan menerusi program PSU.

Katanya, sehingga kini kerajaan sudah membelanjakan RM11.9 bilion bagi membantu majikan terjejas akibat penularan Covid-19 bagi mengekalkan pekerjaan di bawah program PSU.

“Dalam menangani masalah tuntutan palsu ini, Perkeso bekerjasama dengan bahagian perundangan KSM bagi mengenal pasti tindakan undang-undang sesuai yang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan seperti kenyataan media sebelum ini.

“Kerajaan menerusi KSM tidak akan bertolak ansur dengan tuntutan palsu dibuat majikan ini.”