- Iklan -
Berita

Peruntukan belanjawan pandemik dijangka lebih tinggi walaupun terdapat potongan pada sektor, kementerian tertentu

Bantuan dan subsidi kerajaan dijangka meningkat, termasuk perbelanjaan kesihatan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Putrajaya berkemungkinan besar akan mengumumkan peruntukan terbesar berbanding tahun-tahun sebelumnya dalam belanjawan pertama sejak krisis Covid-19 melanda, dengan berbilion ringgit dijangka diperuntukkan khas untuk menangani impak pandemik yang sehingga kini sudah meragut 277 nyawa.

Belanjawan bakal dibentangkan hari ini merupakan yang pertama bagi kerajaan Perikatan Nasional, gabungan dibentuk selepas jatuhnya Pakatan Harapan pada Februari lalu.

Belanjawan yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, turut mendapat perhatian Yang di Pertuan Agong, ketika kebimbangan wujud ia mungkin gagal pada peringkat pengundian.

Pihak istana sebelum ini mengeluarkan tiga peringatan kepada ahli Parlimen untuk mengenepikan perbezaan politik dan memberi sokongan kepada belanjawan bagi memastikan peruntukan kewangan kritikal dapat disalurkan dalam usaha memerangi Covid-19.

Peringatan Agong itu hadir selepas timbul spekulasi terdapat sekelompok kecil ahli Parlimen kerajaan akan mengagalkan belanjawan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada diluluskan, dan berkemungkinan mencetuskan pilihan raya mengejut yang berulang kali dibantah pegawai kesihatan.

Walaupun kerajaan jimat berbilion-bilion ringgit dari segi kos operasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan penutupan pejabat-pejabat kerajaan dan kakitangan bahagian bukan kritikal diarah bekerja dari rumah, peruntukan tambahan Covid-19 bermakna penjimatan itu memberikan kesan kecil.

“Apa jua penjimatan perbelanjaan operasi sebelum ini akan diambil peruntukan khas untuk Covid-19,” kata satu sumber yang mengetahui tentang perbincangan menyediakan belanjawan sejak beberapa tahun sebelum ini kepada MalaysiaNow.

Bantuan dan subsidi kerajaan akan menyaksikan penambahan secara menyeluruh dan ia juga “hampir pasti berlaku”, tambah sumber itu, ketika berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dengan ramai lagi bakal menerima nasib serupa disebabkan krisis Covid-19.

Unjuran MalaysiaNow sendiri, dan juga beberapa perbincangan dengan pakar yang terlibat dalam belanjawan terdahulu, mencadangkan Putrajaya mungkin memberi sejumlah besar peruntukan kepada program kebajikan dan agihan tunai pada tahun-tahun mendatang, termasuk bantuan sara hidup (BSH) untuk golongan berpendapatan rendah.

“Apa jua penjimatan perbelanjaan operasi sebelum ini akan diambil peruntukan khas untuk Covid-19,” kata satu sumber yang mengetahui tentang perbincangan menyediakan belanjawan sejak beberapa tahun sebelum ini kepada MalaysiaNow.

Kementerian luar, perpaduan negara, perdagangan antarabangsa dan industri, alam sekitar, belia dan sukan serta wilayah persekutuan mungkin antaranya yang akan menerima peruntukan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Bagi sektor-sektor berkaitan pendidikan, pertanian, teknologi, keselamataan dan pertahanan berkemungkinan tidak berlaku potongan peruntukan yang banyak.

“Mungkin ada sektor akan menerima peruntukan lebih tinggi sedikit, terutama yang melibatkan keperluan lebih mendesak ketika PKP.

“Ini bermaksud lebih banyak pelaburan dalam pembangunan infrastruktur komunikasi lebih baik seluruh negara,” tambah sumber itu.

Sementara itu, 1.6 juta penjawat awam mungkin terpaksa menunggu sehingga tempoh pandemik berakhir.

Walaupun kerajaan mungkin memanjangkan tempoh moratarium bersasar melibatkan pinjaman bank, kenaikan gaji untuk kakitangan kerajaan mungkin tidak berlaku.

Baru-baru ini, penjawat awam menerima bantuan khas sebanyak RM500 ketika pelaksanaan PKP, dan jumlah yang sama turut diberikan pada awal tahun lalu untuk meringankan beban kewangan ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.