- Iklan -
Berita

SKMM kesan lebih 1.3 juta nombor talian prabayar meragukan

Lebih 900,000 talian prabayar yang diragui ditamatkan taliannya elak penipuan siber.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak kementerian turut melakukan hebahan bagi memberi kesedaran kepada pengguna.
Pihak kementerian turut melakukan hebahan bagi memberi kesedaran kepada pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya mengesan sejumlah 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan sehingga Oktober 2020, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 920,217 talian ditamatkan perkhidmatannya dan 457,645 dikemas kini dengan maklumat yang sah.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) juga ada melaksanakan strategi komunikasi yang terancang dan berkesan melalui saluran platform media sosial rasmi JaPen bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber yang menggunakan pelbagai modus operandi dalam memperdayakan mangsa dalam mendapatkan data peribadi dan wang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“KKMM juga melaksanakan inisiatif untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat adalah juga melalui rancangan bual bicara, laporan berita, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program-program radio”.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang mahu KKMM menyatakan apakah inisiatif untuk memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber yang menggunakan aplikasi tidak sahih dan juga melalui panggilan telefon dengan pelbagai modus operandi bagi memperdayakan mangsa bagi mendapatkan data peribadi dan wang.

Menurut Saifuddin dari Januari hingga Oktober 2020, RTM menerusi empat saluran televisyen, 34 stesen radio dan 192 akaun media sosialnya menyiarkan 6,788 hebahan di semua platform mengenai bahaya penipuan siber dan salah guna data peribadi.

“Dalam memastikan mesej berkenaan sampai kepada rakyat, hebahan berkenaan terutamanya menerusi PSA dan infografik masih disiarkan pada setiap masa sehingga kini. RTM juga berusaha memastikan mesej disampaikan dengan cara mesra penonton dan menghiburkan.

“KKMM juga melaksanakan inisiatif untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat adalah juga melalui rancangan bual bicara, laporan berita, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program-program radio”.

“KKMM melalui CyberSecurity Malaysia (CSM) juga turut membantu rakyat menangani penipuan siber melalui program kesedaran keselamatan siber. Ini memerlukan pelaksanaan aktiviti kesedaran keselamatan siber yang berterusan dalam usaha untuk memupuk amalan keselamatan siber dalam kehidupan harian dan juga meningkatkan pengetahuan ancaman siber yang sentiasa berubah mengikut kemajuan teknologi digital.”

Bagaimanapun jelas Saifuddin kegiatan penipuan ataupun “scam” sama ada secara dalam talian (online) ataupun luar talian (offline) tertakluk di bawah bidang kuasa polis (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi berkenaan tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan.

“Bagi perkara berkaitan siasatan, Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-SKMM yang ditubuhkan akan terus digerakkan dan diperkasakan bagi menerajui gerak kerja dan tindakan yang lebih strategik dan tersusun antara PDRM dan SKMM dalam membenteras jenayah siber termasuklah yang berkaitan penipuan atau scam.

“Daripada aspek pengawalseliaan industri, SKMM turut menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian telefon prabayar untuk memastikan bahawa semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya. Ini bagi mengelakkan ia disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan seumpamanya.”