- Iklan -
Berita

Bekalan air di Hulu Selangor pulih

Sebanyak 90 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang kini pulih.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.
Sebanyak 130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

Bekalan air di Hulu Selangor yang mengalami gangguan sebelum ini, telah pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi, kata Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri.

Beliau berkata perkembangan terkini itu menjadikan sejumlah 1,162 atau 90 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang sejak beberapa hari lepas, telah menerima bekalan air sepenuhnya.

“Sebanyak 130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan… wilayah Kuala Selangor merekodkan pemulihan paling tinggi iaitu 99.6 peratus, diikuti  Petaling dengan 98 peratus, Kuala Lumpur (97 peratus), Gombak (78 peratus), Klang/Shah Alam (70 peratus) dan Kuala Langat  (50 peratus).

Menurutnya, Air Selangor memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air yang telah ditetapkan.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com,” tambahnya.

Isnin lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada kira-kira pukul 2.00 pagi.

Henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.