- Iklan -
Berita

Dakwa peningkatan kos, Air Selangor harap tarif air dinaikkan

Ia susulan semakan tarif dilakukan buat pertama kali oleh Air Selangor setelah 17 tahun tanpa sebarang kenaikan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk dibawa ke kawasan terjejas bekalan di sekitar negeri itu.
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk dibawa ke kawasan terjejas bekalan di sekitar negeri itu.

Lebih 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mungkin bakal menyaksikan peningkatan bil air sekiranya cadangan syarikat bekalan air, Air Selangor Sdn Bhd untuk menaikkan tarif air pengguna domestik tahun ini diterima.

Menurut laporan Harian Metro, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat itu Abas Abdullah berkata, semakan tarif dilakukan buat pertama kali setelah 17 tahun tanpa sebarang kenaikan.

Ia meskipun syarikat berkenaan mencatatkan pendapatan RM2.45 bilion, meningkat sebanyak 12.38% daripada RM2.18 bilion tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun, peningkatan pendapatan ini masih tidak dapat menampung kos operasi dan perbelanjaan modal dan akan memberi impak kepada pengurusan operasi jangka masa panjang Air Selangor.

"Justeru, sudah tiba masanya tarif air domestik disemak semula dan dinaikkan pada kadar berpatutan selepas 17 tahun tiada sebarang kenaikan dikenakan," katanya pada sidang media hari ini. 

Peningkatan tersebut katanya adalah hasil pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik Covid-19 serta pelarasan tarif bagi kategori domestik dan khas, berkuat kuasa Ogos 2022.

Semakan tersebut dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan sedang menunggu keputusan akhir tahun ini.

Suruhanjaya tersebut menentukan kadar tarif baru.

Kadar baru itu menurut Abas bertujuan menampung peningkatan perbelanjaan operasi dan modal.

Sebahagian besar perbelanjaan itu digunakan untuk infrastruktur sistem bekalan air.

“Air Selangor tidak menerima sebarang subsidi dan kami memang berharap agar tarif air dapat dinaikkan paling tidak secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun sekali supaya bekalan air dan pengurusan projek air secara lestari dapat diteruskan untuk manfaat pengguna,” katanya.

Dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada kenyataan Air Selangor, Amirudin Shari menafikan tarif air akan dinaikkan.

“Tarif air adalah perkara dasar yang memerlukan keputusan dan kelulusan pentadbiran negeri.

“Sehingga ini, kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan untuk meningkatkan tarif air di negeri Selangor,” kata menteri besar Selangor itu dalam satu kenyataan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi