- Iklan -
Berita

Sayap wanita Amanah Teluk Intan lapor polis selepas dikasari ‘samseng’

Mangsa pertama ditolak sehingga jatuh manakala mangsa kedua ditumbuk di muka hingga cedera.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Sayap Wanita Amanah Teluk Intan tampil membuat aduan kepada setiausaha agung parti selepas mendakwa ketua wanita dan naib ketua Amanah cawangan itu dikasari oleh dua “samseng” yang juga merupakan perwakilan negeri.

Dalam satu surat yang disiarkan pada Facebook, mereka berkata mangsa pertama ditolak sehingga jatuh dan menyebabkan berlaku pergelutan kecil.

Manakala mangsa kedua ditumbuk sehingga menyebabkan kecederaan di muka.

“Naib ketua Amanah Teluk Intan pengsan akibat kesan tumbukan tersebut di dalam lif dan dan dibawa ke Hospital Teluk Intan oleh ambulan,” tulis surat aduan itu.

Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook Awan Teluk Intan, selepas kejadian berlaku.

Surat itu juga menamakan Safarizal Salleh sebagai pelaku yang merupakan setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak Asmuwi Ani.

Dalam pada itu, Wanita Amanah Teluk Intan turut menuntut penjelasan daripada Jawatankuasa Aduan Nasional parti yang turut hadir ketika kejadian tersebut berlaku namun dilihat hanya berdiam diri.

“Di mana letak akal rasional dan rasa kemanusiaan AJK Aduan Nasional yang berada di situ?”

Surat itu juga memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sudah merekodkan keterangan saksi di tempat kejadian dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu kejadian tersebut,” tulis surat itu.