- Iklan -
Berita

Banyak persoalan timbul selepas MR.DIY terbit IPO

Ketika ramai peruncit terpaksa berjuang mempertahankan perniagaan mereka, MR.DIY melakukannya dengan baik sehingga memerlukan pendanaan berbillion ringgit.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengguna berjalan di hadapan salah sebuah kedai Mr DIY di sebuah pusat beli-belah.
Seorang pengguna berjalan di hadapan salah sebuah kedai Mr DIY di sebuah pusat beli-belah.

Penyenaraiaan tawaran awam permulaan (IPO) oleh MR.DIY (M) Berhad minggu lalu mencetuskan minat dalam kalangan penganalisis dan pelabur kerana rangkaian peruncitan perkakasan rumah itu menyasar rekod IPO terbesar di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun terakhir, menjana RM1.5 bilion dalam dana syarikat dan memberikan nilai pasaran sebanyak RM10 bilion.

Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk disenaraikan harus memenuhi kriteria ketat tertentu seperti yang diperincikan oleh Bursa Malaysia.

Salah satu kriteria ditetapkan adalah pertumbuhan yang berterusan – dalam istilah teknikalnya adalah “rekod prestasi keuntungan” – dalam jangka masa tiga hingga lima tahun kewangan berturut-turut.

Pada akhir tahun lalu, MR.DIY mencatatkan keuntungan bersih sepanjang tahun kewangan 2019 (TK19) lebih daripada RM300 juta. Pendapatan bagi kumpulan itu untuk TK19 adalah RM2.2 bilion.

Ketika sektor peruncitan lain mengalami penurunan perbelanjaan pengguna secara tiba-tiba dan drastik akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika pandemik Covid-19, penyenaraian MR.DIY di pasaran utama menyerlah.

Penularan pandemik menyebabkan ramai peruncit tidak bersedia dan beralih menggunakan alternatif lain untuk sumber pendapatan (e-dagang), namun MR.DIY disenaraikan kira-kira empat bulan selepas fasa pemulihan PKP bermula.

Persoalan mengenai tingkah laku pengguna

Berbanding peruncit besar lain yang terpaksa mengecilkan atau menutup operasi, dan pendapatan peniaga-peniaga kecil terjejas teruk, penyenaraian sebuah syarikat ketika ketidaktentuan ekonomi menimbulkan beberapa persoalan.

Adakah pertumbuhan berterusan peruncit dalam kategori ini, yang menjual pelbagai barangan di bawah satu bumbung pada harga rendah, mencerminkan lonjakan konsumerisme yang tidak normal atau apakah ini benar-benar diinginkan pengguna?

Apakah ini strategi perniagaan baru, menarik pasaran massa untuk menjana keuntungan daripada mengharapkan kepada 20% kelas atasan untuk membeli barangan mewah?

Apakah kedai pelbagai tanda harga murah yang dibuka terlalu menarik untuk ditolak pengguna atau adakah mereka sekadar menjadi mangsa kepada taktik pemasaran manipulatif kedai itu?

Ada sebab kenapa rangkaian kedai harga patut seperti Walmart berada di kedudukan teratas senarai syarikat paling bernilai Fortune500: pengguna suka kepada kedai murah pelbagai barangan.

Namun, pembaziran dalam kedai-kedai ini meningkatkan kecenderungan kepada pengunaan tidak perlu dan akhirnya menyumbang kepada masalah lebih besar seperti kemusnahan alam sekitar dan kekurangan sumber?

“Pembaziran adalah satu kebimbangan,” kata Lee Hwok Aun, pengarang beberapa buku mengenai ekonomi Malaysia kepada MalaysiaNow.

“Akses mudah kepada produk murah – kebanyakannya tahan lama – boleh memburukkan lagi masalah pelupusan sisa pepejal,” kata Lee, yang kini bersama ISEAS – Institut Yusof Ishak yang berpusat di Singapura.

Tetapi beberapa pakar di sektor peruncitan mungkin mempunyai pandangan berbeza.

“Saya tidak rasa ia pembaziran berlebihan,” kata Andrew Kang, seorang perunding pengurusan industri FMCG (barangan pengguna cepat laris).

“Saya rasa strategi untuk barang-barang yang dijual di kedai-kedai ini memberi fokus kepada barangan mudah lupus.”

Tetapi, Kang mempersoal adakah ia konsumerisme yang adil sambil menegaskan kedai seperti MR.DIY adalah untuk golongan M40 dan B40 – pengguna yang mencari barang pada harga berpatutan, yang lebih mementingkan harga.

“Namun, produk yang mereka mampu miliki adalah produk yang pada masa sama dipersoalkan kualitinya.”

“Adakah ini adil, untuk mendorong mereka yang ingin berjimat berbelanja lebih?”

Lee menegaskan, pertumbuhan MR.DIY lebih dari satu dekad, dan rancangan untuk penyenaraian IPO mesti dilakukan sebelum pandemik bermula, berada dalam senarai awal IPO berbanding tingkah laku pengunaan dan sektor peruncitan.

“Secara peribadi, saya meragui pembukaan lebih banyak kedai adalah langkah ke hadapan. Pengguna Malaysia kini ke arah digital.”

Di mana kedai-kedai kecil?

Adakah kejayaan rangkaian kedai perkakasan rumah seperti MR.DIY menjadikan kedai-kedai kecil kelihatan suram?

“Saya tidak fikir ia satu pengakhiran buat kedai-kedai kecil tempatan, yang lebih mudah dan berada dekat dengan tempat kediaman,” kata Lee. “Namun, saya melihat mereka hanya akan berkembang di kawasan yang memiliki kepadatan penduduk tinggi”.

Kang berpendapat trend global kini menuju konsumerisme yang lestari dan ekonomi “hijau” sedang berkembang.

“Kesedaran mengenai bahaya sisa pepejal semakin meningkat; bukan sekadar membeli barang, trend kini beralih kepada pengalaman. Kini semuanya beralih daripada kedai-kedai tradisional bata dan mortar,” katanya kepada MalaysiaNow.