Usim arah kakitangan kuarantin kendiri, kerja dari rumah mulai esok
Langkah itu susulan beberapa kakitangan mempunyai kontak dengan individu disahkan positif Covid-19.
Terkini
Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 diarah untuk menjalani kuarantin kendiri dan dibenarkan bekerja dari rumah selama 14 hari bermula esok.
Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata ia sebagai langkah mengekang penularan wabak itu susulan beberapa kakitangan universiti berkenaan yang berhubung rapat dengan individu disahkan positif Covid-19 dan telah menghadiri program di Usim.
Staf yang berhubung rapat dengan kontak kedua (menjadi kontak ketiga) juga tertakluk dengan kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah iaitu merujuk kepada imam, jemaah saf pertama semasa solat Jumaat pada 2 Oktober di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, ahli mesyuarat bersama kontak pertama pada hari berkenaan dan staf hadir dalam Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq Usim.
“Pengurusan universiti juga memutuskan semua staf yang bertugas di Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan-Timbalan Canselor, KITM, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri terlibat dengan pelaksanaan arahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ruang fizikal termasuk Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, Bilik Mesyuarat Naib Canselor dan KITM ditutup penggunaannya bermula esok hingga 8 Oktober.
Katanya, Bilik Gerakan Covid-19 Usim akan beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan bagi membendung penularan wabak itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
