- Iklan -
Berita

Pusat mengundi Sabah ditutup, proses kira undi bermula

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata keputusan penuh PRN ini dijangka diketahui pada kira-kira 10 malam ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
A worker from the Election Commission sprays a polling booth with sanitiser during the recent Sabah state election. Photo: Bernama
A worker from the Election Commission sprays a polling booth with sanitiser during the recent Sabah state election. Photo: Bernama

Semua 741 pusat mengundi di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, ditutup pada 5 petang tadi.

Terdapat juga pusat pengundian di beberapa kawasan ditutup lebih awal kerana jumlah pengundi tidak ramai. Ada ditutup pada 2 petang dan ada juga ditutup pada 3 petang.

Proses pengundian berjalan lancar sepanjang tempoh pusat mengundi dibuka pada 7.30 pagi, tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Selepas pusat mengundi itu ditutup, maka bermulalah proses pengiraan undi bagi menentukan parti yang dipilih rakyat Sabah untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri baru.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh sebelum ini dilapor berkata keputusan penuh PRN ini dijangka diketahui pada kira-kira 10 malam ini.

Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah menerusi laman Facebooknya melaporkan sebuah helikopter membawa dua peti undi dari Pulau Mantanani tiba paling awal untuk dibawa ke pusat penjumlahan undi.

SPR dilaporkan akan menggunakan 20 helikopter untuk membawa peti-peti undi dari kawasan pedalaman seluruh Sabah.

Terdahulu, beberapa calon bertanding pada PRN Sabah kali ini turut tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun sejam sebelum waktu mengundi ditamatkan.

Ini termasuk Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman yang juga calon DUN Bongawan yang selesai mengundi pada pilihan raya kali ini di Sekolah Kebangsaan Kg. Brunei, Membakut, pada 3.50 petang.

Selain itu, calon Warisan bagi kerusi DUN Sungai Sibuga Armani Mahiruddin turut menunaikan tanggungjawab mengundi di SMK Merpati, Sandakan, pada 3.17 petang.

Peratusan keseluruhan keluar mengundi masih belum diperoleh setakat ini.

Seramai 447 calon daripada 15 parti termasuk 56 calon Bebas, bersaing untuk merebut 73 kerusi DUN, dengan 13 kerusi baharu ditawarkan pada pilihan raya ini.