- Iklan -
Berita

16,877 anggota polis, tentera undi awal esok

55 pusat mengundi awal dibuka bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas jentera sebuah parti yang bertanding menolak troli yang berisi bendera parti untuk dipacak bagi mewarnai kempen Pilihan Raya Negeri Sabah di Kampung Tanjung Aru.
Petugas jentera sebuah parti yang bertanding menolak troli yang berisi bendera parti untuk dipacak bagi mewarnai kempen Pilihan Raya Negeri Sabah di Kampung Tanjung Aru.

Pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 esok akan menyaksikan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka mengundi di 55 pusat mengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu 7,487 merupakan anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.

“Bagi tujuan ini, pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Katanya, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan untuk proses undi awal itu.

Tambahnya, pengundian awal akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR, selain SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi menerusi Facebook SPR.

“Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis. Kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 26 September bermula jam 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon diikuti pengundian awal 22 September dan pengundian biasa, 26 September ini.

PRN ini menyaksikan 391 calon termasuk 56 calon bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 yang baharu diwartakan tahun lalu.