- Iklan -
Berita

Tewas PRU15 dan disingkir di 4 negeri, Umno bakal bertarung nyawa di Sabah

Bolehkah PRN di Sabah yang menyaksikan pelbagai perubahan politik sejak 2020 tentukan hidup mati Umno?

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sabah kali terakhir mengadakan PRN ketika pandemik Covid-19 pada 2020.
Sabah kali terakhir mengadakan PRN ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

Pilihan raya negeri (PRN) di Sabah yang bakal menjelang menyaksikan Umno berdepan keadaan "hidup mati", malah dianggap pemimpin parti negeri itu sebagai peluang terakhir untuk terus bernyawa di Semenanjung selepas dua kali mendapat pukulan pada pilihan raya umum dan PRN empat negeri.

Tumpuan kini adalah bagaimana parti itu, yang hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, boleh kembali berkuasa di Sabah, negeri yang tidak lama dulu merupakan benteng kuat Umno di bawah kepimpinan bekas ketua menteri Musa Aman.

Sabah perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya 9 Disember tahun depan.

Seorang pemimpin kanan di Sabah berkata tahap sokongan di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri turut mencerminkan kekuatan di peringkat Parlimen.

Polemik Umno Sabah

Seorang penganalisis politik Sabah bagaimanapun tidak menganggap Umno di Semenanjung akan menerima tempias prestasi parti pada PRN akan datang.

Sebaliknya, Lee Kuok Tiung percaya PRN Sabah kali ini tidak akan memihak kepada Umno disebabkan perpecahan dalaman yang berlaku.

"Kita menjangkakan pengundi akan menunjukkan protes mereka kepada Umno Sabah, mereka adalah pengundi Umno tetapi mereka akan mengundi parti lain kerana protes berikutan ketidakpuasan hati terhadap pemimpin seperti Bung Moktar Radin dan Ahmad Zahid Hamidi," kata Lee dari Universiti Malaysia Sabah, merujuk kepada pengerusi Umno Sabah dan presiden parti.

Beliau merujuk polemik dalam Umno yang menyaksikan Adun parti menyokong pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan keputusan Bung menarik keluar Umno daripada kerajaan negeri.

Ini ditambah dengan kemungkinan Umno Sabah bekerjasama dengan Warisan, parti yang menjatuhkan Umno pada 2018.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal.
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Bagi Lee, dengan sejarah Warisan dan presidennya Shafie Apdal, kerjasama parti itu dengan Umno akan hanya memberi kelebihan kepada GRS.

"Ini adalah cabaran baru yang akan kita lihat dalam PRN kali ini, di mana pada saya, cabaran ini hanya memberi kelebihan kepada GRS kerana GRS adalah parti terkuat di Sabah," tambahnya.

Pada PRN 2020, Umno memenangi 14 daripada 33 kerusi yang ditandingi.

Dua tahun kemudian, pada pilihan raya umum, Umno menang 6 daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi. 

Ia kini menyasarkan sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN, di mana ia memerlukan 15 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Jika ini berlaku, ia memberikan motivasi kepada Umno di Semenanjung bahawa parti itu masih boleh bangkit dari siri kekalahan teruk sejak 2022.

'Susah bangkit semula'

Semua itu mustahil berlaku tanpa bantuan terus dari Umno pusat, kata seorang pemimpin.

“Umno Sabah macam mana pun perlu menang untuk bantu Umno pusat, jadi Umno pusat perlu bantu kita dengan cara apa sekali pun. Kalau kita tidak menang kali ini, Umno Sabah memang susah nak bangkit lagi. Jadi kekuatan Umno di satu negeri akan hilang. Bukankah itu akan jejaskan kedudukan Umno pusat nanti untuk bentuk kerajaan?" soalnya ketika dihubungi MalaysiaNow baru-baru ini.

Sabah kali terakhir mengadakan PRN ketika krisis pandemik Covid-19 pada 2020, di mana GRS yang menaungi Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menjatuhkan kerajaan Warisan-Pakatan Harapan selepas mencapai majoriti mudah 38 kerusi.

GRS memenangi 17 kerusi manakala BN 13 dan PBS 8.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Sejak itu, Sabah menjadi negeri yang paling banyak mengalami perubahan jajaran politik.

Kerjasama BN dan GRS di Sabah berakhir pada Januari 2023 dengan BN Sabah menarik sokongannya kepada Hajiji untuk kekal sebagai ketua menteri.

Hajiji bagaimanapun mampu mengekalkan pemerintahannya selepas menerima sokongan lima Adun Umno.

Beberapa sumber yang mengikuti dengan rapat perkembangan politik Sabah meramalkan PRN Sabah akan diadakan sekitar Ogos atau September tahun ini.

Keadaan itu akan menyulitkan lagi peluang Umno.

“Kita tidak cukup wang untuk berkempen nanti, seperti Hajiji," kata pemimpin kanan itu yang dilihat masih berpengaruh.

Menurutnya, Umno mengharapkan PRN diadakan pada 2025.

Umno Sabah, katanya, sudah pun mengenal pasti beberapa calon, termasuk bagi merampas balik lima DUN di mana wakil rakyatnya berpaling tadah menyokong Hajiji.