- Iklan -
Berita

23 kes baru Covid-19, satu lagi kluster baru dikesan

Baki lima kes lagi melibatkan empat daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) yang mana tiga adalah warga asing, sementara satu kes dikesan menerusi saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau, katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19. Gambar: Bernama

Sebanyak 23 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan 13 jangkitan dalam negara dan 10 kes import, menjadikan jumlah terkumpul 9,969 kes dengan kes aktif sebanyak 632, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua jangkitan tempatan itu yang melibatkan 10 rakyat tempatan dan tiga warga asing direkodkan di Sabah termasuk lapan daripada kluster baharu iaitu Kluster Pulau.

Baki lima kes lagi melibatkan empat daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) yang mana tiga adalah warga asing, sementara satu kes dikesan menerusi saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau, katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Kes import pula melibatkan mereka yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Filipina (4 kes) manakala masing-masing satu kes dari Hungary, Turki, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi, katanya.

Terdapat enam kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 sebanyak 9,209 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Tiada kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat pandemik itu kekal 128 kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 14 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Pulau, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu melibatkan seorang wanita rakyat Malaysia berusia 68 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak.

“Kes kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati dengan saringan COVID-19 didapati positif pada 13 Sept.

“Beliau kini dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, lapan lagi kes positif  telah dikesan melibatkan ahli keluarga wanita berkenaan.

Hingga kini,  sejumlah 128 individu disaring dalam kluster itu merangkumi 109 rakyat tempatan dan 19 bukan warganegara.

Tambahnya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster itu giat dijalankan di lapangan, katanya.

Mengulas perkembangan Kluster Benteng LD, Sabah, beliau berkata pertambahan empat kes baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif kluster itu sebanyak 424 kes.