- Iklan -
Berita

Wanita rentung dalam kebakaran 2 buah rumah

Katanya, kebakaran yang tercetus dari rumah pertama itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Alphard yang diparkir di kawasan garaj rumah dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh setengah jam daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wanita ditemui rentung dalam kebakaran 2 buah rumah. Gambar: Pexels
Wanita ditemui rentung dalam kebakaran 2 buah rumah. Gambar: Pexels

Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres dua tingkat di Taman Lintang, Air Itam di George Town dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Muzamer Mohd Salleh berkata mayat Choo Hooi Hong, 50-an dijumpai pihak bomba di tingkat bawah rumah pertama yang terbakar itu.

“Pihak bomba menerima panggilan memaklumkan kebakaran rumah pada 2.10 pagi sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong terus ke lokasi dan mendapati dua buah rumah terbakar serta api dalam keadaan marak,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kebakaran yang tercetus dari rumah pertama itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Alphard yang diparkir di kawasan garaj rumah dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh setengah jam daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Beliau berkata api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3.05 pagi dengan rumah pertama mengalami kemusnahan akibat kebakaran kira-kira 85 peratus manakala rumah kedua pula 75 peratus.

Katanya, pihak bomba membuat pemeriksaan lanjut di dalam kediaman pertama selepas penghuni lain memaklumkan terdapat mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan menemukan mayat wanita terbabit di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia ketika dijumpai dan mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dua rumah itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.