- Iklan -
Berita

SPRM siasat isu pencemaran air Selangor

SPRM dalam kenyataan berkata ia adalah bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SPRM menjalankan siasatan terhadap isu pencemaran air di Selangor baru-baru ini. Gambar: Air Selangor
SPRM menjalankan siasatan terhadap isu pencemaran air di Selangor baru-baru ini. Gambar: Air Selangor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Gong di Rawang.

SPRM dalam kenyataan berkata ia adalah bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasa.

“SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu itu untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” menurutnya.

Semalam, Bernama melaporkan kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air sungai berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014.

Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lepas ekoran pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Dalam perkembangan lain, menurut kenyataan itu, SPRM Pahang memulakan siasatan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

“SPRM sedang mengumpul maklumat dan meneliti beberapa dokumen berkaitan daripada pihak terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan tanah di Raub itu untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM berdekatan.

“SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu itu,” menurut kenyataan itu.

Pada 2 Sept, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung perkara itu.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengetahui kedudukan sebenar mengenai perkara yang berlaku melibatkan peneroka di kawasan itu sebelum SPRM membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu.

Pada 1 Ogos, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri.