- Iklan -
Berita

Pembelian atas talian bakal dikenakan caj 0.02%

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, caj ini akan digunakan kerajaan untuk menangani ancaman siber.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Zahidi mohon maaf di Dewan Negara hari ini. Gambar: Bernama.
Zahidi mohon maaf di Dewan Negara hari ini. Gambar: Bernama.

Rakyat Malaysia yang membeli atas talian termasuk menggunakan aplikasi e-dagang seperti Lazada dan Shopee bakal dikenakan caj 0.02%, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, caj ini akan digunakan kerajaan untuk menangani ancaman siber.

“Contohnya pembelian RM1,000 dikenakan 20 sen, atau 0.02%.

“Jadi kita dapatlah gunakan wang itu untuk keselamatan (siber). Sebab kosnya pun mahal,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Zahidi bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum menetapkan jumlah minimum pembelian yang membolehkan caj itu dikenakan.

“Perkara ini masih dalam perancangan peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah salah satu untuk mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat.

“Caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak scammer dan pencerobohan siber.

“Ini bukan GST (cukai barang dan perkhidmatan) kerana sekarang ini, banyak pembelian atas talian tidak membayar cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan.

“Untuk mengenakan cukai ia rumit dan perlu diluluskan oleh Parlimen menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini,” katanya.

Menurut Zahidi, kebelakangan ini, banyak berlaku serangan siber di seluruh dunia akibat ketirisan data.

“Sebab itu sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku.

“Justeru, kita perlu sama-sama membantu untuk menampung kos penambahbaikan komunikasi kerana ia membabitkan perbelanjaan besar,” katanya.