- Iklan -
Berita

Hulu Selangor pulih sepenuhnya dari gangguan bekalan air

948 kawasan pulih sepenuhnya, manakala 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Baru-baru ini penduduk Lembah Klang mengalami gangguan air disebabkan pencemaran itu. Gambar: Bernama
Baru-baru ini penduduk Lembah Klang mengalami gangguan air disebabkan pencemaran itu. Gambar: Bernama

Hulu Selangor menjadi kawasan pertama di negeri Selangor pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air pagi tadi.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, Kuala Selangor kini berada pada tahap 99.25%, diikuti Petaling yang mencapai 91.78% yang hampir mencapai tahap pulih sepenuhnya.

“Peratusan pemulihan bagi Gombak pula pada tahap 72.99%, diikuti dengan Kuala Langat yang masih kekal 50% sejak semalam.

“Sementara itu, Kuala Lumpur pada 47.37% dan Klang/Shah Alam berada pada 38.42%,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, sebanyak 948 kawasan pulih sepenuhnya, manakala 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Secara keseluruhan, 73.37% daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini pulih sepenuhnya.

“Bagi kawasan kumpulan 1 membabitkan 71 kawasan yang sepatutnya pulih sepenuhnya 12 tengah malam tadi tetapi tidak berlaku adalah disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan pengguna agar tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Justeru, tambahnya, beliau turut mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air,” katanya.