- Iklan -
Berita

Tiada DNA asing pada mayat Nora Anne

Tiada DNA asing ditemukan pada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin, termasuk di bahagian alat sulitnya

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
French-Irish teenager Nora Anne Quoirin was found dead over a week after she went missing on Aug 4 last year. Photo: Bernama
French-Irish teenager Nora Anne Quoirin was found dead over a week after she went missing on Aug 4 last year. Photo: Bernama

Tiada DNA asing ditemukan pada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin, termasuk di bahagian alat sulitnya, Mahkamah Koroner Seremban hari ini diberitahu.

Pengarah DNA Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon, berkata keputusan itu berdasarkan eksibit yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Saksi ke-6 dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne itu berkata, eksibit pertama ujian swab atau calitan yang diambil daripada ahli keluarga Nora Anne, manakala yang kedua daripada mayatnya dan yang terakhir sampel yang diambil di tempat kejadian.

“Tugas saya menganalisis eksibit dari tempat kejadian jenayah dan setahu saya laporan pertama bernombor 19FRB18998 daripada eksibit pertama yang dihantar, semasa Nora Anne masih belum dijumpai.

“Oleh itu, anda akan lihat daripada beberapa calitan dan eksibit yang saya berjaya mendapatkan profil dilabelkan sebagai ‘Individu Satu’.

“Laporan ketiga, 19FRB99139, semasa Nora Anne sudah dijumpai dan kami dapat pastikan individu dalam laporan itu ialah Nora Anne, dan sudah tentu berdasarkan eksibit serta daripada analisis saya, kami tidak menemukan sebarang DNA asing pada mayat Nora Anne,” katanya semasa memberi keterangan di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Semasa ditanya Maimoonah, apa yang dimaksudkannya dengan tiada kehadiran DNA asing, Nor Aidora menjelaskan: “DNA asing pada mayatnya malah daripada calitan, kuku atau rambut, yang diambil bermaksud bukan milik Nora Anne.

“Sebagai manusia, kita biasanya meninggalkan DNA kita di sekeliling kita. Oleh itu berdasarkan eksibit yang diambil, boleh diagak siapa yang meninggalkan bukti,” katanya dan menjelaskan DNA bukan sesuatu yang boleh diubah.

Prosiding inkues akan berlangsung sehingga 4 September dengan 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di pusat peranginan resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan, kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan 9 hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Inkues bersambung esok.