- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan Arul Kanda jadi saksi kes pinda laporan audit 1MDB

Permohonan pendakwaan dibenarkan kerana selari dengan Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan permohonan pihak pendakwaan untuk Arul menjadi saksi kes adalah selari dengan Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata terdapat bukti menunjukkan Arul mengetahui perbualan dengan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dua mesyuarat mengenai audit 1MDB pada 2016.

Hakim Zaini turut menambah pihak pendakwaan juga telah memberikan alasan di sebalik permohonan dan tiada prejudis terhadap pihak pembelaan.

Arul kemudian dipanggil ke kandang saksi untuk memberi keterangan.

Pada 20 Mei lepas, pihak pendakwaan memfailkan permohonan bertulis mengikut Seksyen 63 Akta SPRM 2009 untuk memanggil Arul sebagai saksi.

Di bawah Seksyen 63(1) dalam situasi dua atau lebih individu didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM, mahkamah boleh menghendaki seorang atau lebih daripada mereka untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan jika permohonan bertulis dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.