Monday, July 4, 2022

Syed Saddiq bincang kehilangan RM250,000 dalam kumpulan WhatsApp, kata penyiasat SPRM

Syed Saddiq membincangkan mengenai naratif dan alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

Other News

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berbincang dengan ahli kumpulan “WhatsApp Value Add” mengenai kenyataan yang perlu dikeluarkan kepada media berkaitan kehilangan RM250,000 di kediamannya bagi menutup mulut masyarakat.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Taufik Awaludin berkata perbincangan kumpulan WhatsApp tersebut diperoleh daripada laporan forensik yang diambil dalam telefon bimbit Rafiq Hakim Razali iaitu penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ketika itu.

“Dalam kumpulan WhatsApp itu juga, YB Syed Saddiq ada membincangkan mengenai naratif bagaimana alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

“Perbincangan itu mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan bagi menutup mulut masyarakat. Di akhir perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu, YB Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan ahli kumpulan dan memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa sumber wang tersebut adalah daripada ibu, ayah dan beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada hari pertama perbicaraan kes ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Saksi pertama pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, bahawa wang itu adalah daripada ibu dan bapa Syed Saddiq untuk mengubah suai rumah.

Wan Shaharuddin: Mengapa anda tidak bersetuju?

Taufik: Saya tidak bersetuju kerana dalam laporan forensik itu juga terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp bahawa wang tersebut adalah daripada dana budi bicara yang dahulu pernah dimohon oleh YB Syed Saddiq.

Selepas itu, YB Syed Saddiq berbincang mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan dan YB Syed Saddiq memilih untuk membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

Wan Shaharuddin: Siasatan anda tentang kehilangan duit di rumah YB Syed Saddiq, ada tak kaitan dengan pertuduhan pengeluaran wang RM1 juta?

Taufik: Ada.

Asyraf kemudian meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa kehilangan wang RM250,000 mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

Taufik menjawab: “Kaitannya adalah tanpa siasatan melibatkan keterangan beberapa saksi, tidak akan jumpa petunjuk bagi pertuduhan lain, oleh itu pertuduhan yang dihadapi YB Syed Saddiq dapat disiasat.”

Dirujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq, saksi itu berkata laporan tersebut menyatakan bahawa pada 7.51 petang 29 Mac 2020, sejumlah wang tunai iaitu kira-kira RM250,000 dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq telah dicuri.

“Tiada sebarang kesan umpil manakala keadaan rumahnya kemas dan telah menetapkan kod rahsia pada peti besi itu dan hanya orang tertentu sahaja mengetahui kod tersebut,” katanya.

Menurut Taufik, ibu dan bapa Syed Saddiq juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles