- Iklan -
Berita

Muhyiddin gesa PM percepat pertemuan berhubung pengganti Zuraida

Presiden Bersatu itu berharap Ismail memberikan keutamaan untuk menyusun pertemuan tersebut memandangkan isu Zuraida sudah berlanjutan lebih daripada dua minggu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan pertemuan bagi membincangkan berhubung status jawatan dan kerusi menteri perusahaan, perladangan dan komoditi yang disandang Zuraida Kamaruddin.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap Ismail dapat memberikan keutamaan untuk menyusun pertemuan tersebut memandangkan perkara itu sudah berlanjutan memakan masa lebih daripada dua minggu.

Katanya, beliau tidak mahu pimpinan dan akar umbi parti salah sangka terhadapnya seolah-olah tidak membuat sebarang tindakan dan keputusan untuk Bersatu.

“Di pihak Bersatu, kita dah berikan pandangan kita. Sewajarnya diputuskan segera,” katanya pada satu sidang media selepas dialog Ruang Belia anjuran Institut Masa Depan Malaysia di Kuala, Lumpur hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata permintaan Bersatu amat mudah iaitu mengekalkan kuota menteri dari parti itu selepas Zuraida umum keluar parti pada 26 Mei lalu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Nak lantik Zuraida jadi apa pun, itu hak dia. Pokoknya, kuota Bersatu jangan ambil.

“Nak tubuh atau buat kementerian baru, ikutlah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai desakan PBM yang mahu kerusi tersebut dikekalkan kepada Zuraida, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.

Katanya, pihak Zuraida boleh berharap tetapi keputusan tetap terletak kepada kuasa perdana menteri.

Pada Mei lalu, Zuraida mengumumkan keputusannya keluar Bersatu bagi menyertai PBM selain mengatakan bakal meletakkan jawatan Kabinet.

Pada perkembangan lain, Muhyiddin turut mengulas berhubung status permohonan Ahli Parlimen Bersatu Willie Mongin yang mengesahkan ingin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti yang dipimpin Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Menurut Muhyiddin, Willie sudah dihubungi oleh Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu Mohamed Azmin Ali untuk diaturkan satu perjumpaan tertutup bersama pimpinan parti.

Katanya, meskipun terdapat beberapa kenyataan yang sudah dikeluarkan oleh Willie kepada media, Muhyiddin enggan mengulas lanjut dan mahu menggunakan pendekatan lebih mesra melalui perbincangan.

“Saya percaya kalau Willie dapat jumpa dengan Azmin lepas itu jumpa saya, kita akan dapat leraikan apa-apa yang berbangkit.

“Yang penting saya fikir kita beri dia sokongan, beri jawatan, tak faham kalau ada tujuan lain.

“Seeloknya, dia berbincang macam anak beranak dan selesaikan secara bersama.”

Semalam, Willie yang juga ahli parlimen Puncak Borneo mengesahkan sudah menyerahkan permohonan penyertaannya kepada PBB beberapa bulan lalu.

Willie bertanding di kerusi Puncak Borneo menggunakan tiket PKR pada pilihan raya umum 2018 yang lalu.

Beliau kemudian menyertai Bersatu pada 2020 sewaktu Langkah Sheraton di mana ia menyebabkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan tumbang.