- Iklan -
Berita

PSM jelaskan bagaimana kenakan cukai terhadap lelaki terkaya Malaysia boleh tampung kelompongan hasil GST

Parti Sosialis Malaysia berkata kaedah mengenakan cukai kepada bilionair Malaysia mengikut tahap kekayaan mereka boleh memberikan hasil sebanyak RM20.52 bilion kepada kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa individu terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes. Senarai itu diungguli ahli perniagaan Robert Kuok.
Beberapa individu terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes. Senarai itu diungguli ahli perniagaan Robert Kuok.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan kerajaan mengenakan cukai terhadap golongan yang disenaraikan sebagai “individu terkaya” negara berbanding memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Dengan menyenaraikan bilionair Malaysia mengikut tahap kekayaan mereka, parti itu berkata kerajaan boleh mendapat hasil sebanyak RM20.52 bilion.

“Cukai kekayaan ialah cukai yang dikenakan ke atas nilai aset yang dipegang seseorang,” katanya.

“Cukai ke atas kekayaan RM1 bilion dan ke atas, bermula dari 2% dan boleh meningkat kepada 10%. Ia akan dikira secara berkadar mengikut kategori tahap cukai mereka.”

Ia juga termasuk anggaran pembahagian hasil cukai bagi setiap bilionair dalam senarai yang didahului lelaki terkaya Malaysia Robert Kuok, yang mempunyai nilai aset bersihnya pada 2022 sebanyak AS$11.1 bilion atau di bawah RM50 bilion.

Dalam wawancara bersama agensi Nikkei, Ismail berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai GST walaupun ia dilihat sebagai tindakan tidak popular.

Beliau berkata Putrajaya tidak mempunyai pilihan yang banyak bagi menampung kekurangan RM20 bilion hasil cukai tahunan selepas GST dimansuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga berkata kerajaan akan menyasarkan kadar GST yang tidak membebankan rakyat namun is tidak begitu rendah sehingga boleh “menggagalkan matlamat kerajaan untuk mengembangkan hasil cukai”.

Cadagan itu bagaimanapun ditolak PH yang mangatakan langkah memperkenalkan GST boleh menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak.

PH berkata situasi rakyat ketika ini sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan penurunan pendapatan isi rumah ekoran inflasi yang tinggi dalam negara.

Malaysia melaksanakan GST sebanyak 6% pada 2015 oleh pentadbiran Najib Razak, namun ia kemudiannya dimansuhkan tiga tahun kemudian selepas PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad mengambil alih Putrajaya.