- Iklan -
Berita

Zuraida keluar Bersatu, akan letak jawatan menteri

Beliau akan bertemu perdana menteri bagi memaklumkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan keputusan keluar Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sekali gus bakal meletakkan jawatan sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komuniti.

Dalam sebuah kenyataan, Zuraida berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan peletakan jawatannya daripada Kabinet dalam jangkamasa terdekat.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. 

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri,” katanya.

Sejak Februari, desas-desus beliau akan meninggalkan Bersatu hangat dilaporkan media.

Bagaimanapun beliau memilih untuk “mengunci mulut” mengenai keputusannya tersebut.

Dalam pada itu, Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada tiga perdana menteri sejak 2018 seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail kerana melantiknya sebagai menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya,” katanya yang pernah memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan serta perusahaan perladangan dan komoditi dalam Kabinet.

Zuraida yang merupakan salah seorang bekas pemimpin PKR yang keluar dari parti itu ketika “Langkah Sheraton”.

Susulan itu, beliau bersama ahli Parlimen dari Bersatu, PAS dan Umno menganggotai kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin.

Beliau memegang jawatan ahli Parlimen Ampang selama 14 tahun sejak 2008.