- Iklan -
Berita

Pakar beri amaran punca penularan HIV beralih dari kongsi suntikan kepada seks

Angka menunjukkan 63% kes HIV pada 2021 dikaitkan dengan hubungan seksual sesama lelaki.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan mengambil sampel darah untuk ujian HIV pada 3 Disember 2021. Gambar: AFP
Petugas kesihatan mengambil sampel darah untuk ujian HIV pada 3 Disember 2021. Gambar: AFP

Pakar kesihatan awam berkata muncul trend baru dalam penularan HIV walaupun kadar jangkitan dan kematian berkaitan AIDS di negara ini menurun, di mana sejumlah besar pesakit lelaki direkodkan dan punca penularannya mula berubah.

Bercakap di webinar baru-baru ini, Dr Nurliza Ibrahim dari kementerian kesihatan berkata statistik Jabatan Pendaftaran Negara bagi 2002 hingga 2021 menunjukkan 85.5% dari 67,880 orang pesakit HIV adalah lelaki.

“Antara 2006 dan 2021, 90% jangkitan HIV baru adalah dalam kalangan lelaki,” katanya.

“Angka juga menunjukkan 63% daripada kes HIV pada 2021 dikaitkan dengan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.”

Dalam pada itu, Dr Raja Iskandar Raja Azwa dari Majlis AIDS Malaysia berkata cara penularan HIV berubah sejak tiga dekad lalu, daripada jangkitan melalui suntikan kepada penularan secara seksual.

Beliau berkata pembangunan pesat dan penghijrahan ke kawasan bandar mendedahkan lebih ramai orang kepada risiko jangkitan HIV.

Namun, katanya, strategi kesihatan awam masih tidak berubah.

Beliau menggesa supaya fokus strategi menggunakan kondom bagi mencegah HIV diubah kepada penggunaan profilaksis pra-pendedahan atau ubat PrEP.

“PrEP ialah ubat pencegahan yang mengurangkan risiko jangkitan HIV daripada hubungan seks sehingga 99% sekiranya diambil dengan betul,” katanya.

“Tetapi ubat ini tidak menjadi ‘game changer’ yang besar ketika ini walaupun berada di pasaran sejak sekitar 2015.”

Raja Iskandar juga berkata rawatan PrEP perlu disediakan dengan lebih meluas di peringkat komuniti, dan menggesa kerajaan mengambil langkah pragmatik untuk memberi subsidi kepada mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Dr Anita Suleiman dari bahagian kawalan penyakit kementerian kesihatan berkata kajian intervensi berskala besar mengenai kesediaan orang ramai untuk mengambil pil PrEP masih kurang.

“Kita kena faham, sebelum kementerian boleh keluarkan dasar, ia mesti ada bukti kukuh berasaskan data,” katanya.

Beliau turut menambah rancangan untuk kajian berskala luas mengenai PrEP sedang dijalankan selain turut berkata inisiatif dan program lain untuk mengurangkan jangkitan HIV juga perlu diteruskan, bagi membantu mereka daripada golongan berpendapatan rendah mendapat akses lebih baik bagi penjagaan kesihatan.

Melalui pelbagai usaha yang dilakukan, Anita berkata terdapat penurunan sebanyak 70% dalam jumlah kes HIV baru dari 2002 hingga 2021.