- Iklan -
Berita

2 varian Covid yang tersebar di China dikesan di Malaysia

Setakat 31 Disember, 4,148 kes di Malaysia adalah jangkitan varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail pelancong China memakai baju pelindung ketika duduk di kawasan menunggu KLIA, Sepang.
Gambar fail pelancong China memakai baju pelindung ketika duduk di kawasan menunggu KLIA, Sepang.

Dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80% daripada varian yang menular di China ketika ini telah dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat 31 Disember lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bagaimanapun, beliau berkata belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian.

“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai subketurunan Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Ketururan Dalam Pemantauan (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China,” menurutnya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata situasi itu akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam dan ia akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota serta penduduk dunia secara am.

Varian BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

Dr Noor Hisham juga berkata hasil survelan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia sepanjang Disember 2022 menunjukkan varian XBB mendominasi penularan Covid-19 di negara ini.

Varian XBB merangkumi 55.4% daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan 17 genom diikuti varian BA.2.75 (20.8%) dan BQ.1 (10.8%).

“Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022.

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya.