Wednesday, June 29, 2022

Kisah Kak Ma: Isteri, ibu dan bekas pengedar dadah ‘sensasi’ Kelantan

Norma Mohamad adalah antara wanita pertama yang dihantar ke pusat penempatan banduan Pulau Jerejak.

Other News

Pada pagi Jumaat, Kak Ma yang berusia 65 tahun, baru selesai melawat pusara ibu bapanya di pekan Rantau Panjang, Kelantan.

Itu sudah menjadi rutinnya sejak lebih sedekad lalu.

Selepas itu, dia duduk di pondok luar kawasan perkuburan memerhati penduduk setempat yang sibuk memulakan hari masing-masing.

Ada ketika, beberapa rakan-rakannya bertegur sapa dan berbual panjang.

Jika dilihat pada masa kasar, Kak Ma atau nama sebenarnya Norma Mohamad tiada bezanya dengan wanita warga emas yang lain.

Tapi, tiada siapa yang tahu, Kak Ma pernah menjadi nama yang penuh sensasi dan “panas” pada suatu ketika dahulu.

Kak Ma sememangnya bukan wanita yang biasa-biasa.

Dia adalah bekas pengedar dadah yang dikenali dan dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan dan selatan Thai sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Menceritakan kisahnya Kak Ma berkata semuanya bermula apabila suaminya menjadi penagih selepas tiga tahun berkahwin.

Kak Ma menyifatkan suaminya yang tidak mempunyai perangai buruk sebelum itu dan mula berubah selepas mengambil bahan terlarang.

Di peringkat awal, suaminya hanya membeli untuk kegunaan sendiri.

Lama kelamaan, dia mula menjual dan mengedar kepada rakan-rakan penagih yang lain di Golok, Thailand.

Kak Ma berkahwin dengan suaminya yang mempunyai kewarganegaraan Thailand dan menetap di situ.

“Jual pun untuk makan sendiri. Ada lima, jual tiga. Dua tu suami punya. Harga masa tu pun murah. Jual dalam 30 bath, RM3 duit Malaysia.

“Masa tu, tak ada barang (dadah) pelik-pelik macam sekarang. Dulu ada macam ganja sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Kak Ma dadah tersebut dimasukkan dalam penyedut minuman kemudian dipotong kepada beberapa bahagian menjadi pendek dan kecil sebelum dijual.

Tidak lama selepas itu, suaminya turut meminta Kak Ma membantunya menjual dan mengedar dadah.

Bagaimanapun, kata Kak Ma, dia menjalankan kegiatan itu hanya di Thailand.

“Tak pernah jual kat alik sini (Malaysia). Tak pernah. Sini bersih.

“Saya tolong dia jual kat sana sahaja. Jual pun untuk makan sendiri. Beza dengan sekarang, budak-budak sekarang jual sebab nak kaya. Kita dulu jual sebab nak buat makan,” katanya.

Hidup susah

Bercerita lebih lanjut, Kak Ma memberitahu kegiatannya aktif di Golok sekitar penghujung tahun 70-an dan awal 80-an.

Dia mengakui, terpaksa melakukan kegiatan itu demi membesarkan tiga orang anaknya yang masih kecil.

Suaminya yang tidak mempunyai kerja tetap menyebabkan dia bergantung kepada kegiatan haram itu.

Menurut Kak Ma, kesempitan hidupnya bukan bermula selepas berkahwin tetapi sejak dari kecil dia sudah dibelenggu kemiskinan.

Ayahnya dikenali oleh penduduk setempat sebagai Pok Mat “Kotok” (kotak) disebabkan keadaan daif keluarganya yang tinggal di bawah timbunan kotak-kotak yang dikutip.

Bukan itu sahaja, ayahnya ketika hidup juga buta.

Selain itu, Kak Ma turut bimbang dengan status anak-anaknya yang tidak dibenarkan memiliki kerakyatan kerana berkahwin dengan lelaki dari seberang.

Apabila beliau mendengar terdapat beberapa pihak yang boleh “menyelesaikan” masalah tersebut, dia diminta memberi bayaran upah dengan harga yang tinggi.

“Kak Ma tak boleh bayar. Orang tu kata tak apa. Jom ikut saya pergi bilik, tidur dengan saya.

“Masa tu Kak Ma fikir, daripada aku hidup susah kena hina, pijak dengan orang. Baik aku jual dadah, boleh bagi anak aku makan.”

Liku hidupnya tidak terenti di situ, Kak Ma bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila rumah sewanya dan suami di Golok terbakar dan memusnahkan deretan rumah sewa yang lain dalam sekelip mata.

Katanya, ia berpunca daripada api lilin yang digunakan untuk mengambil bahan terlarang tersebut dan membakar langsir sebelum semuanya musnah dijilat api.

Tidak lama selepas itu, suaminya ditangkap polis Thailand dan mereka akhirnya berpisah.

Kak Ma membawa anak-anaknya kembali ke pangkuan keluarga di Rantau Panjang, Kelantan.

Dibuang ke Pulau Jerejak

Kak Ma mula mencari sinar baru dalam kehidupan selepas kembali ke tempat asalnya.

Dia menyewa rumah kecil di tepi Sungai Golok dan menyara keluarga dengan menjual kain di bazar jualan Rantau Panjang.

Semuanya baik-baik sahaja untuk Kak Ma meskipun hidupnya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia tetap tekun menjalani kehidupan demi membesarkan anak-anaknya.

Tidak sehingga, pada satu hari, dia didatangi beberapa individu memperkenalkan diri sebagai polis dari Bukit Aman dan meminta Kak Ma membawa mereka ke rumah.

Di rumah, semua barangnya diselongkar.

“Saya dibawa ke balai polis walaupun tiada apa-apa yang dijumpai dalam rumah itu. Sebab saya tak jual dan edar barang tu selepas balik ke Malaysia.”

Tidak lama kemudian, pada pertengahan tahun 1991, Kak Ma diarah buang negeri dan ditempatkan di pusat penempatan banduan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.

“Saya akur. Saya pergi juga. Tapi saya minta untuk bawa anak saya yang ketika itu baru sahaja berusia 13 bulan.

“Saya terpaksa. Siapa nak jaga dia, dia masih kecil lagi dan perlukan saya. Mereka benarkan saya bawa dia bersama.”

Kak Ma merupakan antara wanita-wanita terawal dari Kelantan yang dibuang negeri ke Pulau Jerejak akibat kesalahan dadah.

“Bukan setakat jual (dadah) saja, bedil (pistol) pun Kak Ma bawa. Kak Ma lalu kepala retok (jambatan) tu selamba je.

“Tak peduli orang dah,” katanya merujuk kepada jambatan pintu masuk sempadan antarabangsa Rantau Panjang- Thailand.

Anak bongsunya pula ketika itu menjadi buah hati semua penghuni penjara dan anggota.

Setiap pagi, katanya, mereka perlu berbaris dan berkawad.

Pada setiap pagi itulah, anaknya akan bersama pegawai bertugas memeriksa barisan banduan.

Pada tahun 1993, Kak Ma dibebaskan. Anaknya juga semakin membesar dan dikhuatiri akan menjejaskan perkembangan pembesarannya jika terus berada di dalam kawasan tersebut.

“Ini paling menarik. Bila diberitahu nak balik, saya tanya pegawai. Macam mana saya nak balik? Saya tak tahu.

“Saya duduk dalam beberapa hari, nama saya dipanggil sekali lagi dan bawa semua barang. Saya dan anak balik ke sini naik helikopter dari Pulau Jerejak.

“Saya tak ingat berapa jam perjalanan. Kami turun di padang sekolah menengah di sini. Sampai sahaja. Saya mabuk. Tak boleh berjalan. Mujur ada beberapa orang yang nampak saya dan bantu papah ke rumah.”

Erti hidup

Sebelum dibenarkan balik, pegawai tinggi yang bertugas di Pulau Jerejak ketika itu memanggil Kak Ma untuk temubual secara bersemuka sebagai maklum balas hukuman.

“Apa kamu mahu buat selepas ini?”

Kak Ma menjawab, dia nekad untuk kembali aktif menjual dan mengedar dadah.

“Dia tanya saya, kenapa macam tu? Tak serik ke? Saya jawablah, saya tak puas hati. Saya ditangkap dan dihantar ke pulau tu, saya tak ada barang terlarang pun dengan saya.

“Alasan mereka, mereka tahan saya sebab nama saya panas. Panas tu ketika saya berada di Golok. Saya tak buat kegiatan tu bila balik di Malaysia.”

Tambah Kak Ma, dia sememangnya tidak bergurau dengan kenyataan tersebut. Pulang sahaja dari Pulau Jerejak, dia mula mencari pembekal barang-barang terlarang itu dari Thailand dan menjualnya kepada sesiapa sahaja yang mahu.

Kegiatannya disifatkan begitu aktif dan tidak mempedulikan orang lain.

Sehingga satu tahap, dengan kerja-kerja tersebut beliau boleh hidup mewah dan membeli rumah berharga lebih RM50,000 sebelum tahun 2000.

“Tahun 2002, Kak Ma kena ragut. Dalam beg tu penuh duit dan beg berisi barang kemas yang saya beli hasil dari kerja tu.

“Habis semua hasil kerja saya kena ragut. Masa tu saya sedar. Saya kena berhenti dah buat semua tu. Anak-anak pun dah nasihatkan saya supaya berhenti daripada kegiatan tidak bermoral tersebut.”

Kak Ma memberitahu, selepas perkahwinan pertamanya, dia berkahwin sekali lagi dengan lelaki Malaysia dan memiliki dua orang cahaya mata.

Suaminya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Sehingga kini, Kak Ma tinggal bersama anak-anak dan cucunya.

Kecuali dua orang anaknya yang bekerja di luar negeri.

Meskipun dia masih merasakan dirinya dipandang serong oleh masyarakat setempat, Kak Ma berkata dia sudah tidak mempedulikan dan ambil pusing terhadap kata-kata orang.

“Masa kita susah, ada mereka datang tanya khabar dan tolong kita? Mereka cuma tahu kita kena tangkap, buat kerja jual itu jual ini. Jadi penjahat.

“Dengan kerja saya itulah, saya boleh besarkan anak-anak saya sampai dua orang masuk universiti. Yang nombor empat dapat ijazah.

“Anak bongsu yang masuk dalam Pulau Jerejak dengan saya ada diploma sekarang jadi jururawat.

“Mereka semua tahu kisah saya. Saya cerita kat anak-anak. Saya tak rahsiakan.

“Sudah lama juga saya tunggu detik macam ini, nak kongsikan kisah saya supaya jadi pengajaran kepada semua. Jangan jadi macam Kak Ma.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles