- Iklan -
Berita

Malaysia berjaya tarik pelaburan RM16.52 bilion dari AS, kata menteri

Mohamed Azmin Ali berkata selain pelaburan, syarikat-syarikat AS juga mahu memastikan pemindahan teknologi selain mewujudkan ekosistem dan penglibatan industri tempatan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bercakap dalam sidang media khas berhubung misi perdagangannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bercakap dalam sidang media khas berhubung misi perdagangannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Malaysia terbukti kekal menjadi pilihan destinasi pelaburan dalam kalangan pelabur asing apabila Misi Galakkan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM16.52 bilion.

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata, antaranya adalah pelaburan baru oleh syarikat Insulet, Ferrotex Holdings Corporation, Amazon Web Services (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.

Beliau berkata, selain menyatakan komitmen dalam melakukan pelaburan baru di Malaysia, syarikat-syarikat yang berpangkalan di AS itu juga akan memastikan pemindahan teknologi, mewujudkan ekosistem dan penglibatan industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan mereka.

“Hasil dari pertemuan dan perbincangan yang saya adakan di Washington DC, San Francisco, Seattle dan Los Angeles, saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan syarikat US,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Pada masa ini, AS adalah rakan dagang global dan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia dan merupakan sumber import keempat terbesar pada 2021.”

Mengulas lanjut, Azmin berkata, tahun lalu jumlah perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan AS turut meningkat sebanyak 21.4% kepada RM217.10 bilion, berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, eksport Malaysia ke AS meningkat 30.4% kepada RM142.20 bilion dengan eksport utama terdiri daripada produk elektrikal dan elektronik (E&E), dan produk berasaskan getah manakala import dari negara itu pula meningkat 7,4% dengan nilai RM74.87 bilion melibatkan produk E&E dan keluli.

“Dari segi pelaburan AS adalah sumber pelaburan langsung asing yang keempat terbesar Malaysia,” tambahnya.

Mengulas mengenai syarikat AS yang bersedia melabur di Malaysia, Azmin berkata, perjumpaannya bersama pihak syarikat Microsoft dan AWS di Seattle turut mengesahkan kesediaan kedua-dua syarikat gergasi itu untuk menyumbang input kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan daya saing negara dalam ekonomi digital.

“Di hari terakhir Misi Galakkan ke AS, saya melawat SpaceX yang merupakan pembekal pelancar roket angkasa lepas dan diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi Starlink, iaitu projek capaian internet berasaskan satelit yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.

“Projek ini berupaya menjadi game changer susulan keupayaannya menyediakan akses internet menggunakan satelit berkelajuan tinggi dan keluasan capaian meliputi kawasan pedalaman , dengan kos rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Starlink pada masa ini masih lagi dalam perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung urusan regulasi komunikasi digital.

“Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera memandangkan Starlink telah bersedia untuk melabur dan menyediakan perkhidmatannya di Malaysia.

“Kami telah mengenalpasti isu-isu berhubung kait penggunaan ‘Global Harmonised Shared’ dengan koordinasi bersama International Telecommunication Union (ITU),” katanya dan menambah perkara itu akan dibincangkan antara kedua-dua pihak pada minggu hadapan.

Ditanya mengenai pertemuan Elon Musk dan Presiden Indonesia Jokowi Widodo berhubung potensi pelaburan Tesla di Indonesia, Azmin menyatakan kerjasama antara Starlink dengan Malaysia turut membuktikan bahawa negara ini berupaya menarik perhatian pelabur berkualiti tinggi ke Malaysia.

“Kita tak boleh halang mana-mana negara yang ingin rancakkan usaha menarik pelaburan kepada negara mereka.

“Sudah tentu kita harapkan syarikat gergasi akan terus beri sokongan kepada Malaysia. Kita ada strategi tertentu yang kita tetapkan untuk melibatkan pelaburan yang berkualiti tinggi.

“Selain menjadi perintis kepada syarikat kenderaan elektrik (EV), beliau juga merupakan perintis kepada teknologi angkasa dan teknologi penting, malah lawatan saya ke SpaceX memberikan harapan baru bahaw mereka komited nak melabur di sini,” katanya.