- Iklan -
Berita

Selepas laksana hukuman gantung, Singapura sasar serangan terhadap ibu Nagaenthran, pengkritik antarabangsa

Jabatan Peguam Negara Singapura berkata ia akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap ulasan yang dikeluarkan berhubung kes Nagaenthran.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu Nagaenthran K Dharmalingam, Panchalai Supermaniam ketika tiba di Mahkamah Agung Singapura pada 26 April. Gambar: AFP
Ibu Nagaenthran K Dharmalingam, Panchalai Supermaniam ketika tiba di Mahkamah Agung Singapura pada 26 April. Gambar: AFP

Jabatan Peguam Negara Singapura (AGC) hari ini melancarkan serangan terhadap ibu Nagaenthran K Dharmalingam di samping turut menuduh pengkritiknya cuba menghalang proses mahkamah, dalam sebuah kenyataan pada hari yang sama pelaksanaan hukuman matinya awal pagi tadi.

AGC berkata usul jenayah yang dikemukakan Panchalai Supermaniam dua hari sebelum pelaksanaan hukuman mati anaknya dalam percubaan terakhir menyelamatkan Nagaenthran daripada hukuman gantung merupakan permohonan ketujuh dibuat oleh banduan warga Malaysia itu sejak rayuan pertamanya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2011.

“Ia adalah percubaan terbaru untuk menyalahgunakan proses mahkamah dan secara tidak wajar menangguhkan pelaksanaan hukuman yang dikenakan ke atas Nagaenthran,” katanya, sambil menambah Panchalai tidak mempunyai kelayakan undang-undang dalam prosiding itu.

AGC turut membangkitkan nada bahasa yang digunakan dalam kertas yang difailkan oleh Panchalai, mengatakan ia “secara jelas” disediakan oleh peguam.

“Seperti yang ditegaskan Mahkamah Rayuan, peguam yang membantu anak guam mereka dengan membekalkan kertas permohonan dan bukti bertindak secara bertentangan dengan tugas mereka sebagai pegawai mahkamah,” kata AGC.

AGC turut mengulangi Nagaenthran sudah diberikan ruang sewajarnya dalam proses undang-undang, mengatakan “ramai individu dan kumpulan” baik di dalam mahupun di luar Singapura terus mengulangi “dakwaan palsu” yang terkandung dalam afidavit Panchalai.

“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina (mahkamah), dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pentadbiran badan kehakiman,” katanya.

Nagaenthran menjalani hukuman mati awal pagi tadi selepas lebih sedekad menjalani hukuman penjara di Penjara Changi atas kesalahan menyeludup 43g – kira-kira tiga sudu besar – heroin ke Singapura.

Nagaenthran yang didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69, satu tahap yang membolehkan seseorang diisytihar sebagai orang kurang upaya (OKU) mental, dilaporkan dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Pelaksanaan hukuman terhadapnya mencetuskan kecaman dan kritikan orang ramai ke atas Singapura yang tetap meneruskan penggunaan peruntukan hukuman mati selain keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman gantung walaupun Nagaenthran berstatus OKU mental.

Tokoh antarabangsa terkemuka termasuk bilionair Britain Richard Branson turut mengutuk hukuman mati ke atas Nagaenthran dan menggesa pihak berkuasa Singapura memberikan pengampunan kepadanya.

Sementara itu, di Malaysia, pemimpin kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura bagi merayu agar hukuman Nagaenthran diringankan.