- Iklan -
Berita

Mahkamah Perancis dakwa syarikat pertahanan berhubung rasuah pembelian kapal selam era Najib

Najib memegang jawatan menteri pertahanan ketika perjanjian pembelian kapal pertahanan bernilai AS$1.2 bilion itu ditandatangani.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam Scorpene yang dibina oleh syarikat Perancis DCNS dan Sepanyol Navantia bagi kegunaan angkatan laut Malaysia. Gambar: Bernama
KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam Scorpene yang dibina oleh syarikat Perancis DCNS dan Sepanyol Navantia bagi kegunaan angkatan laut Malaysia. Gambar: Bernama

Hakim Perancis mendakwa syarikat pertahanan Thales kerana bersubahat dalam rasuah berhubung penjualan kapal selam pada 2002 kepada Malaysia, sumber rapat dengan siasatan kes itu memberitahu AFP pada Selasa.

Kes yang sudah lama berlarutan berhubung dakwaan sogokan tersebut dibuka pada 2010 di mana ia turut dikaitkan dengan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak.

Najib memegang jawatan menteri pertahanan ketika perjanjian bernilai AS$1.2 bilion bagi pembelian dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta ditandatangani bersama unit DCN pertahanan laut Perancis yang kini menjadi sebahagian dari Thales.

Rakan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian tersebut.

Beliau dituduh menggelapkan sogokan sebanyak lebih 114 juta euro (AS$121 juta) di bawah senarai “kerja-kerja rundingan” melalui sebuah syarikat di mana beliau merupakan pemegang saham terbesarnya.

Wang tersebut kemudiannya didakwa diberikan kepada Najib, yang kini berdepan kes rasuah sebaik sahaja pentadbiran kerajaan pimpinannya ditumbangkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Razak Baginda didakwa di Perancis pada 2017, sementara Najib disoal siasat oleh badan pencegahan rasuah Malaysia.

Secara keseluruhan, sembilan defendan termasuk Thales disenaraikan dalam pendakwaan tersebut dan siasatan ditutup pada Januari 2022, kata sumber itu.

Selain Thales, bekas pengerusi DCN International Philippe Japiot, bekas ketua eksekutif Thales Jean-Paul Perrier dan dua bekas eksekutif lain adalah antara defendan yang disenaraikan dalam pertuduhan itu.

Keempat-empat mereka menafikan wujud salah laku dalam rundingan tersebut sementara kerajaan Malaysia pula berkata kontrak tersebut bebas daripada unsur rasuah.

Ketika dihubungi AFP, Thales berkata “ia menentang sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.”

Pendakwa raya dari pejabat jenayah kewangan Perancis kini menyerahkan proses seterusnya kepada hakim, di mana beliau akan memutuskan sama ada kes itu akan dibicarakan di mahkamah atau tidak, walaupun rayuan berhubung kes itu difailkan pada Mei 2021.