- Iklan -
Berita

Mahathir gesa kerajaan simpan ‘hadiah’ disita dari Najib hingga sumber dibuktikan

Beliau berkata wang tunai dan barangan yang dirampas dalam serbuan berkaitan 1MDB tidak seharusnya dikembalikan kepada Najib sehingga ada bukti yang meyakinkan bahawa ia adalah hadiah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Putrajaya harus menyimpan wang tunai dan barangan mewah yang dirampas dalam serbuan ke atas pangsapuri yang dikaitkan dengan Najib Razak pada 2018 lalu jika bekas perdana menteri itu tidak dapat membuktikan ia sebenarnya adalah hadiah dan tidak dibeli dengan dana 1MDB.

Dalam satu siri ciapan Twitter yang memperincikan apa yang digambarkan sebagai pergerakan dana yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara itu, Mahathir berkata tiada bukti siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

“Jadi dakwaan mengatakan ia adalah hadiah diterima,” katanya, merujuk kepada berbilion wang yang Najib dakwa diterima daripada keluarga diraja Saudi.

“Kemudian ada wang dan barangan mahal yang ditemui di Pavilion. Pada mulanya, polis mendakwa wang dan barangan itu dibeli dengan wang 1MDB. Kemudian kerajaan mendakwa ia tidak dapat membuktikan wang tunai dan pembelian barang mewah itu adalah hasil wang yang dicuri daripada kerajaan – terutamanya dari 1MDB.

“Maka diputuskan wang dan hadiah itu dikembalikan kepada Najib kerana ia adalah hadiah. Seperti yang dinyatakan di atas, pengesanan jejak sumber wang itu tidak menyeluruh. Kemungkinan besar ia bukan hadiah.”

Pada 8 November tahun lalu, kerajaan gagal dalam usaha pelucuthakan barangan yang dirampas tersebut, di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata Putrajaya tidak dapat membuktikan hubungan langsung antara barangan tersebut dan dana yang diperolehi secara haram.

Sebelumnya, pada Mei, kerajaan turut gagal dalam dalam membuktikan sejumlah RM114 juta yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib adalah sebahagian daripada dana yang dicuri dari 1MDB.

Najib berkata beliau menyimpan wang itu bagi pihak Umno.

Pada Ogos tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan RM114 juta sudah dipulangkan kepada Najib walaupun tidak dapat disahkan pada masa itu sama ada ahli Parlimen Pekan tersebut sudah memulangkan wang tersebut kepada Umno.

“Jika Najib tidak dapat membuktikan bahawa barangan itu adalah hadiah, mereka tidak sepatutnya memulangkan wang dan hadiah itu kepada Najib,” kata Mahathir.

“Kerajaan harus kekal simpan wang dan hadiah tersebut sehingga sumbernya dibuktikan.”

Beliau turut menambah bahawa tiada siapa tahu ke mana baki wang itu dibelanjakan dan ada yang berkata ia diambil oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya syak (mengapa) letakkan kesalahan kepada Jho Low adalah kerana dia tidak dapat dihubungi. Kerana itu mustahil untuk siasatan dijalankan ke atasnya,” katanya.