Saturday, May 21, 2022

Zahid nafi arah sesiapa guna dana Yayasan Akalbudi untuk tujuan peribadi

Zahid berkata Yayasan Akalbudi adalah suatu amanat daripada kedua ibu bapanya.

Other News

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk menggunakan dana Yayasan Akalbudi bagi tujuan peribadinya.

Menurut Zahid, 69, segala perbelanjaan yayasan yang ditubuhkan pada 1997 itu ditanggung olehnya secara peribadi.

“Pada peringkat awal penubuhan (yayasan), sebahagian besar daripada dana Yayasan Akalbudi adalah daripada sumbangan saya sendiri, hasil dari gaji dan simpanan saya antaranya keuntungan pembelian dan penjualan saham sejak bergiat aktif di dalam dunia korporat.

“Hal ini adalah untuk memastikan bahawa Yayasan Akalbudi boleh melaksanakan program amal jariah saya dan boleh menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada individu atau pihak yang memerlukan dan juga dalam pembinaan-pembinaan masjid, maahad dan sebagainya,” katanya yang merupakan seorang daripada pemegang amanah Yayasan Akalbudi sejak 1997 sehingga kini.

Zahid berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama prosiding membela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Zahid berkata selepas kerja-kerja amal jariah Yayasan Akalbudi semakin diketahui oleh orang luar sejak 2013, yayasan itu mula mendapat sumbangan daripada rakan-­rakannya seperti Mohamed Hashim Ali (saksi pendakwaan ke-29), Syed Mokhtar Al-­Bukhary, Halim Saad dan Ahmad Johan.

“Bagi tujuan ini, saya menegaskan bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali meminta tetapi hanya mempromosikan kepada mana-­mana individu mahupun syarikat bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada Yayasan Akalbudi.

“Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali menyekat dan menghalang mana-mana pihak daripada menyumbang kepada Yayasan Akalbudi,” kata Zahid ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal.

Menceritakan mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Zahid berkata penubuhan yayasan itu adalah daripada cetusan ideanya sendiri ketika berkhidmat dalam dunia korporat dan menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional (1994-­1998) serta Ketua Pegawai Eksekutif di Kretam Holding Berhad (1994-1998), Tekala Corporation Berhad (1995-1998), Ramatex Berhad (1995-­1999) dan Seng Hup Berhad (1996-­1998).

“Saya juga menyatakan bahawa Yayasan Akalbudi ini adalah suatu amanat daripada ayahanda dan ibunda saya yang saya pegang sehingga ke hari ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk melaksanakan sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan agama serta kebajikan untuk semua golongan yang memerlukan dan tidak hanya tertumpu kepada penduduk kawasan Parlimen itu sahaja.

“Pada ketika itu, saya memperoleh pendapatan lebih kurang RM120,000 sebulan dan saya hanya menggunakan lebih kurang RM30,000 hingga RM40,000 bagi kegunaan diri dan keluarga saya dan bakinya saya gunakan untuk sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan-tujuan agama serta kebajikan.

“Atas dasar untuk melakukan kerja amal jariah dan tujuan-­tujuan agama inilah saya telah menubuhkan satu yayasan yang dinamakan sebagai Yayasan Budi pada tahun 1997.

“Nama Yayasan Budi kemudiannya ditukar kepada Yayasan Akalbudi kerana nama Budi itu lebih kepada sumbangan amal jariah dan nama Akalbudi melibatkan pengertian yang lebih luas iaitu melibatkan kegiatan ilmiah, penyelidikan dan bidang-­bidang akademik bagi tujuan intelektual,” katanya.

Zahid mengesahkan bahawa sejak penubuhan Yayasan Akalbudi, kesemua pemegang amanah yayasan itu tidak pernah membantah berkenaan dana-­dana yang disalurkan kepada tujuan pembinaan Masjid atau Maahad, rumah anak yatim, surau dan sebagainya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles