- Iklan -
Berita

Keputusan bubar Parlimen hendaklah dirunding dengan PN, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu berkata PN merupakan sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat. Gambar: Bernama

Sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen hendaklah dirunding dengan Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Menerusi catatan di Facebook, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata ini kerana PN merupakan sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.

Beliau berkata perkara itu dinyatakannya semasa pertemuan pimpinan PN bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Sri Perdana, Putrajaya Sabtu lalu.

“Kami membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

“Dalam pertemuan ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara,” menurut catatan itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai.