- Iklan -
Berita

Akta perlu fokus hanya kepada ahli Parlimen yang tinggalkan parti, kata Muhyiddin

Katanya, definisi yang terlalu luas berhubung lompat parti boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan pada masa depan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Akta Anti Lompat Parti (AHL) yang hendak diluluskan perlu bersikap adil kepada ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat sekiranya ia membabitkan definisi pemecatan ahli Parlimen daripada parti politik, kata Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin itu berkata, definisi yang terlalu luas dalam draf undang-undang itu boleh disalahguna oleh kerajaan pada masa depan untuk menafikan hak wakil rakyat.

“Pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu sekatan hanya kepada ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya.

“Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain. Ia boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika membahaskan bacaan kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, beliau tidak bersetuju ahli Parlimen yang dipecat dikira sebagai lompat parti.

“Tidak ada ruang untuk ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

“Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang hanya dikawal pemimpin parti. Adakah ini adil?” soalnya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, mesyuarat antara perdana menteri dan Pakatan Harapan hari ini menentukan pindaan tersebut tertakluk kepada pengkhususan berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, cadangan memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan suatu jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan dengan keahlian pihak-pihak berkepentingan bagi meneliti peruntukan terbaik untuk akta tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berkata keadaan tertentu memerlukan lompatan dilakukan apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya.

“Ini bukan acara lompat kalau keputusan itu dibuat oleh parti dan bukan individu yang berkemungkinan dilantik sebagai menteri.

“Semua ini perlu dikaji jawatankuasa pilihan khas supaya hak asasi rakyat Malaysia menyertai mana-mana persatuan tidak diganggu kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, pihak pembangkang bersetuju untuk merujuk penggubalan itu kepada jawatankuasa pilihan khas bagi membolehkan ahli Parlimen yang meletak jawatan daripada parti mereka untuk bertanding semula.

“Kita rasa dalam semangat pindaan kali ini, kebebasan perlu dikembalikan pada rakyat.

“Mana-mana ahli Parlimen yang meletakkan jawatan bebas bertanding semula,” katanya.

Pada ketika ini terdapat undang-undang yang melarang ahli Parlimen untuk bertanding selama lima tahun sekiranya meletakkan jawatan.