- Iklan -
Berita

Pendakwaan gesa juri sabitkan kesalahan berhubung 1MDB terhadap bekas pegawai Goldman

Pasukan pembelaan Roger Ng dakwa saksi pendakwaan dan bekas bosnya, Tim Leissner berbohong dalam keterangan terhadap bekas kakitangan Goldman Sachs itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di  New York pada 8 Februari. Gambar: AFP
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari. Gambar: AFP

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggesa juri untuk mensabitkan seorang bekas pegawai kanan Goldman Sachs kerana membantu dalam penyelewengan berbilion dolar dari 1MDB, sementara pihak pembelaan menuduh saksi utama pendakwaan berbohong.

Ketika menutup penghujahan di mahkamah Brooklyn, penolong peguam AS Alixandra Smith berkata defendan Roger Ng menerima lebih AS$35 juta dalam bentuk sogokan daripada aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram yang dilakukan “tanpa rasa bersalah”, dan beliau mesti bertanggungjawab.

Bagaimanapun, peguam Ng, Marc Agnifilo membantah bahawa anak guamnya, yang pernah menjadi ketua pegawai bank pelaburan terkemuka Goldman bagi cawangan Malaysia.

Agnifilo berkata Ng telah dikaitkan secara palsu oleh bekas bosnya, Tim Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan.

“Dia tidak pernah berhenti bohong, dan dia tidak akan berhenti berbohong di kamar mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.

Hujah penutup dijangka akan berakhir pada Selasa.

Hakim kemudiannya akan mengarahkan juri untuk menetapkan keputusan undang-undang mengenai perkara itu dan perbincangan mengenainya akan dimulakan juri.

Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion melalui tiga jualan bon.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dalam bentuk sogokan kepada pegawai kerajaan, bank dan rakan subahat.

Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia bersetuju mengaku bersalah.

Dalam pada itu, dalang utama penyelewengan tersebut, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa beberapa negara.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Pihak pendakwaan berkata Ng membantu Leissner menyelewengkan ratusan juta dolar, mengubah wang dan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan bagi mendapatkan urus niaga bagi Goldman.

Leissner, 52, mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan yang sama seperti Ng.

Ketika penghujahan, Agnifilo menumpukan hujah penutupnya terhadap kredibiliti Leissner, selepas lelaki itu mengaku bahawa dia “banyak berbohong” semasa memberikan keterangan.

Walaupun pihak pembelaan mengakui bahawa Ng memperkenalkan Leissner kepada Low, Agnifilo berkata anak guamnya tidak memainkan peranan selepas perkenalan dua lelaki itu.

Selain itu, Agnifilo berkata Leissner berbohong bagi mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

“Ng pada dasarnya adalah mangsa bagi semua perkara ini,” kata Agnifilo.

Smith mengakui bahawa Leissner memohon kelonggaran selepas memberi keterangan, bagaimanapun, menurutnya keterangan lain turut menyokongnya.

“Apa yang dia beritahu anda tentang jenayah yang dia lakukan bersama defendan dan orang lain disokong dan konsisten dengan bukti lain,” kata Smith.

“Anda sudah tahu defendan bersalah daripada bukti lain.”

Ng mengakui menerima AS$35 juta daripada Leissner di mana bekas bosnya itu berkata bahawa ia adalah wang sogokan dari 1MDB.

Leissner juga berkata beliau bersetuju dengan Ng untuk memberitahu bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang itu datang daripada perniagaan sah antara isteri mereka bagi menutup aktviti haram mereka.

Isteri Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan pembelaan bahawa beliau melabur AS$6 juta pada pertengahan 2000-an dalam sebuah syarikat China dimiliki keluarga isteri Leissner ketika itu, Judy Chan.

Dia berkata AS$35 juta itu adalah pulangannya daripada pelaburannya itu.

Low dikenakan pertuduhan pada 2018 bersama Ng.

Pihak berkuasa Malaysia berkata Low kini berada di China namun ia dinafikan Beijing.