Wednesday, May 18, 2022

Birokrasi sukarkan ibu bapa dapatkan kewarganegaraan anak tanpa kerakyatan

Ramai ibu bapa menunggu jawapan kerajaan bertahun-tahun lamanya dan namun pada akhirnya permohonan mereka ditolak.

Other News

Ketika Michael (bukan nama sebenar) menyerahkan borang permohonan kewarganegaraan bagi anaknya pada 2020, dia yakin dan berharap ia akan diterima.

Walaupun pernah melalui proses itu beberapa kali sebelum ini, dia berharap percubaannya kali ini akan berjaya akhirnya dan anak kesayangannya akan dibenarkan memiliki kad pengenalan yang sah.

Malangnya, selepas dua tahun, Michael masih lagi menunggu keputusan daripada kerajaan.

Pertama kali dia melalui proses itu tujuh tahun lalu, pada 2015.

Ketika ditemui MalaysiaNow, beliau berkata semua prosedur sudah dilakukan dan setiap borang yang ditetapkan pihak berkuasa diisi dan diserahkan olehnya.

Bagaimanapun, tempoh panjang sehingga bertahun lamanya termasuk respons senyap daripada pihak berkuasa menyebabkan timbul keraguan terhadap sistem kerajaan.

“Kementerian tidak pernah beri jawapan kepada saya mengapa permohonan saya itu tidak berjaya,” katanya.

“Mereka sentiasa merujuk kepada peruntukan Perlembagaan 15(A) yang memberi kuasa mutlak kepada menteri untuk menolak atau menerima permohonan.”

Michael adalah salah seorang daripada ramai ibu bapa di seluruh negara yang memperjuangkan hak anak-anak mereka untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Ketika ini, ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan terpaksa berdepan risiko diskriminasi, penderaan dan layanan tidak adil akibat tidak memiliki kad pengenalan biru.

Tanpa dokumentasi pengenalan diri yang sah, mereka tidak boleh mendaftar di sekolah awam atau menikmati sebarang perkhidmatan yang disediakan untuk warganegara.

Malahan, mereka sentiasa dikategorikan sebagai warga asing di mata umum walaupun dilahirkan dan dibesarkan di negara ini.

“Sedih apabila kita mendengar orang suruh kanak-kanak tanpa kerakyatan ini pulang ke negara asal mereka,” kata Alex yang merupakan ahli jawatankuasa Kumpulan Sokongan Keluarga Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan (SFSG) kepada MalaysiaNow.

“Ke mana mereka akan pergi? Mereka dilahirkan di Malaysia.”

Dalam sesetengah kes, kanak-kanak tanpa kerakyatan ini diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia.

Namun, kanak-kanak dalam katagori ini juga sering tidak mendapat kerakyatan walaupun Seksyen 18 Perlembagaan Persekutuan menyatakan anak angkat secara automatik akan mengikut kerakyatan ibu bapa angkatnya.

Sebaliknya, mereka yang diambil sebagai anak angkat ini diberi MyKas atau kad pengenalan hijau yang mesti diperbaharui setiap lima tahun.

“Sesetengah pegawai memberi pelbagai alasan seperti keselamatan negara,” kata Alex berhubung kesukaran mendapatkan MyKad atau kad pengenalan biru.

“Saya tidak tahu bagaimana kanak-kanak tanpa kerakyatan ini boleh jadi ancaman kepada negara.”

Ramai ibu bapa di SFSG berkata mereka kecewa dengan kerenah birokrasi yang menyukarkan memenuhi segala prosedur memohon kewarganegaraan.

Sewaktu menunggu keputusan kerajaan berhubung permohonan mereka, ibu bapa ini terpaksa membelanjakan jumlah wang banyak bagi menyediakan keperluan asas atau kemudahan untuk anak-anak mereka ketika orang lain boleh mendapatkannya secara percuma.

“Kerajaan harus lebih telus dalam isu memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang diabaikan ini,” kata Michael yang turut menganggotai jawatankuasa SFSG.

“Keadaan yang dihadapi kanak-kanak ini sudah menyedihkan – adakah kerajaan mahu kanak-kanak ini terus menderita?”

Menurutnya, jawapan ketika ditanya mengenai permohonan mereka, ibu bapa akan mendapat balasan bahawa “permohonan anda masih diproses”.

Walaupun begitu, anak-anak mereka terus membesar dengan status tersebut.

Mereka juga tidak dapat meraih lebih banyak pencapaian dalam kehidupan disebabkan status itu.

“Mereka menilai anak-anak kami berdasarkan apa yang ada atas kertas,” kata Michael.

“Mereka tidak jumpa dan tengok keadaaan kanak-kanak ini sendiri, atau bantu keluarga berkenaan apa yang perlu dilakukan (untuk selesaikan perkara ini). Bantuan kerajaan pula memang tak ada.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles