- Iklan -
Berita

66.2% dewasa terima dos penggalak, 36.1% kanak-kanak divaksinasi

Sementara itu, 94.6% populasi remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu bapa menemani anak yang telah menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ibu bapa menemani anak yang telah menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 15,574,997 individu dewasa atau 66.2% daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,947,183 atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,223,301 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, 2,846,984 individu atau 91.5% daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,944,079 atau 94.6% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, 1,282,478 individu atau 36.1% kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Sebanyak 27,812 dos vaksin telah diberikan semalam meliputi 5,900 dos pertama, 1,680 dos kedua dan 20,232 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,607,824.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 64 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor tertinggi iaitu 11 kes, diikuti Perak (sembilan), Kedah dan Selangor masing-masing lapan kes dan Melaka (lima).

Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak pula masing-masing empat kes, Terengganu (tiga), Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah masing-masing dua kes manakala Perlis dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.