- Iklan -
Berita

Pelabur asing kekal pembeli bersih minggu lalu, catat aliran masuk RM1.18 bilion

Dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama sembilan dari sebelas minggu pertama 2022.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.

Pelabur asing adalah satu-satunya pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas dengan aliran masuk bersih berjumlah RM1.18 bilion, kata MIDF Research.

Dalam laporan strategi ekuitinya hari ini, bank pelaburan itu berkata dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama sembilan dari sebelas minggu pertama 2022.

“Kami maklum pada minggu lepas, belian bersih oleh pelabur asing adalah yang tertinggi bagi tahun 2022 setakat ini, berjumlah RM1.18 bilion. Belian bersih tertinggi sebelum ini oleh pelabur asing adalah pada minggu berakhir 4 Mac sebanyak RM1.08 bilion,” katanya.

MIDF Research berkata apabila pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lepas, pelabur asing dan peruncit tempatan membeli masing-masing sebanyak RM219.24 juta dan RM35.27 juta bersih ekuiti tempatan, manakala institusi tempatan memulakan minggu berkenaan sebagai penjual bersih, dengan mencatatkan -RM254.50 juta

Ia menambah pelabur asing terus menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 7 Februari, dengan aliran masuk bersih asing terbesar bagi minggu lepas dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM396.27 juta dan paling sedikit pada Jumaat iaitu hanya RM31.81 juta.

Bagi peruncit, mereka telah menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu berkenaan kecuali pada hari Isnin iaitu dengan merekodkan sebanyak RM35.27 juta dan Selasa pada RM9.28 juta.

MIDF Research berkata jualan bersih terbesar dicatatkan pada Khamis berjumlah -RM145.89 juta manakala jualan bersih paling sedikit ialah pada Jumaat iaitu -RM8.67 juta.

Ia berkata secara keseluruhan, untuk minggu kesebelas 2022, pelabur asing tampil kukuh sebagai pembeli bersih dengan jumlah RM1.2 bilion, manakala institusi tempatan adalah penjual bersih kukuh, merekodkan sebanyak -RM1.0 bilion diikuti jualan bersih peruncit berjumlah -RM175.88 juta.

“Dari segi penyertaan, pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit mencatatkan pergerakan mingguan, masing-masing +64.50%, -19.68% dan -23.96% dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV).

“Sejak awal tahun sehingga kini, kami mendapati sejumlah RM1.3 bilion aliran masuk bersih daripada pelabur asing dan RM0.5 bilion aliran masuk bersih daripada peruncit. Sementara itu, institusi tempatan merupakan satu-satunya penjual bersih dengan mencatatkan nilai -RM6.1 bilion,” katanya.

Minggu lepas, Public Bank Bhd merekodkan aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM15.0 juta. Harga sahamnya adalah 6.59% lebih tinggi untuk minggu itu, mengatasi prestasi bursa tempatan yang mencatatkan peningkatan mingguan 1.47%.

Sementara itu, UTD Plantations menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak -RM2.73 juta minggu lepas. Harga sahamnya adalah 3.72% lebih rendah untuk minggu itu berbanding prestasi FBM KLCI yang meningkat 1.47% pada minggu kajian.