- Iklan -
Berita

Hasni sahkan Zahid mengadap Sultan Johor berhubung pelantikan MB

Nama Hasni dijangka akan diserahkan kepada Sultan Johor sebagai menteri besar selepas Barisan Nasional menang PRN Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak ketika mengumumkan kemenangan gabungan itu pada PRN Johor Sabtu lalu.
Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak ketika mengumumkan kemenangan gabungan itu pada PRN Johor Sabtu lalu.

Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelantikan menteri besar Johor petang ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.

“Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, presiden kemudiannya mengadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan Umno Johor, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

Terdahulu, Zahid dilihat tiba di pejabat perhubungan Umno Johor di Jalan Yahya Awal pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.

Semasa kempen, Zahid menamakan Hasni, yang juga Adun Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baru sekiranya parti itu memenangi PRN Johor.