Sunday, July 3, 2022

Muhyiddin jelaskan mengapa PN sokong PM Umno

Muhyiddin berkata pentadbirannya berdepan suasana luar biasa dan keputusan luar biasa perlu diambil.

Other News

Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri Yaakob dari Umno untuk menjadi perdana menteri disebabkan untuk menghalang “orang lain yang sebahagian besar rakyat tidak suka” menduduki jawatan nombor satu negara tersebut, kata Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri itu berkata, situasi yang dihadapinya ketika mentadbir kerajaan adalah luar biasa dan terpaksa memikirkan kepentingan negara berbanding perkara lain.

“Ya, keputusan luar biasa, parti yang jatuhkan saya, saya angkat orang dia jadi perdana menteri. Kenapa? Kerana kepentingan maslahat am untuk negara,” kata Muhyiddin dalam satu wawancara eksklusif bersama akhbar Sinar Harian hari ini.

“Keduanya, kebimbangan saya kalau tak dibuat begitu, mungkin akan ada orang lain yang sebahagian besar rakyat tidak suka menjadi perdana menteri atas kesilapan kita. Saya tak payah sebut siapa.”

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Muhyiddin dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang bekerjasama dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menjatuhkannya dalam satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang didedahkan MalaysiaNow.

Muhyiddin menjelaskan beliau tidak mahu membiarkan keadaan ditentukan oleh situasai sedemikian rupa dan mengambil langkah untuk panggil semua pemimpin kerajaan PN, dan akhirnya mencadangkan nama Ismail sekali gus menyokongnya sebagai perdana menteri.

Muhyiddin juga berkata sebab Ismail disokong sebagai perdana menteri kerana beliau dilihat tidak bersekongkol dengan kluster mahkamah dari Umno.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada Mac 2020 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Bagaimanapun, kerajaan PN yang dianggotai Bersatu, Barisan Nasional (BN), dan PAS dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) tumbang selepas beberapa ahli Parlimen Umno diketuai Najib dan Zahid menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin pada Ogos 2021.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata langkah menyokong Ismail dari Umno juga diambil sebagai cara untuk mengekalkan dasar-dasar yang sudah dibuat pentadbiran PN.

“Ini soal negara juga, oleh sebab itu, bagi tujuan mengekalkan setidak-tidaknya 95% Kabinet yang dahulu saya pimpin dalam bentuk kerajaan baru walaupun BN mengetuai.

“PN sanggup bantu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles