- Iklan -
Berita

Pegawai kanan SPRM dipenjara, terima sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah memerintahkan pegawai kanan SPRM Shahrum Nizam Baharuddin dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 September 2021.
Mahkamah memerintahkan pegawai kanan SPRM Shahrum Nizam Baharuddin dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 September 2021.

Seorang penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 September 2021.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah AS$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.